Skip to main content

Rencana

Aksi 'adik abang' dan pertembungan 'dua darjat'

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pknsselangor.jpg
'Mood' raya tampak terus menjadi kekangan terhadap sambutan bola sepak tanahair yang kembali bersambung selepas Hari Raya Aidilfitri menerusi aksi Liga Super semalam dan kelmarin.

Malah, warga bola sepak tanahair kini dilanda demam Piala Dunia yang sememangnya menjadi bualan hangat di mana-mana sahaja berbanding saingan Liga Malaysia.

Tidak kira perlawanan tumpuan atau pun tidak, sambutan terhadap bola sepak tempatan dijangka terus tenggelam dalam tempoh beberapa minggu ini.

Namun, penulis selaku wartawan
bola sepak Nadi Arena akan terus bertungkus lumus membawakan perkembangan bola sepak tanahair secara komprehensif demi peminat bola sepak tanahair!

Sedar atau tidak, aksi seterusnya membabitkan perlawanan separuh akhir pertama Piala FA iaitu Selangor menentang PKNS FC dan Pahang bertemu PKNP FC pada Sabtu, dua perlawanan yang penulis rasakan 'wajib tonton'.

Pertemuan 'Adik Abang'.

Pertemuan Selangor-PKNS sentiasa hangat dalam beberapa tahun kebelakangan ini susulan kemelut politik dalaman sehingga memperlihatkan Selangor seolah dianak tirikan walaupun mereka abang.

Namun, kehangatan itu tampak mula reda atas beberapa faktor dan itu dapat dilihat musim ini sekali pun kedua-dua pasukan sudah berentap dua kali. Aksi Piala FA akan menjadikan Selangor dan PKNS FC bertembung empat kali dalam tempoh sebulan pada Jun.

Kehebatan Selangor lebih menyerlah pada ketika ini apabila berjaya mencatat kemenangan 2-1 di laman sendiri dan seri 2-2 di tempat lawan bagi aksi Liga Super.

Piala FA sememangnya akan menjadi aksi berbeza buat kedua-dua pasukan tatkala Selangor memburu kejuaraan pertama sejak 2009, PKNS FC pula tekad ulangi pencapaian 2016 mara ke pentas final.

Pertembungan 'Dua Darjat'.

Pahang sememangnya akan turun selaku pasukan pilihan menentang PKNP FC yang akan membuat penampilan sulung di peringkat separuh akhir Piala FA.

Apa tidaknya, skuad Tok Gajah bukan sahaja memiliki reputasi besar dalam saingan elit bola sepak Malaysia, malah mereka juga kini dalam momentum terbaik berdasarkan beberapa aksi terakhir.

Malah, Piala FA juga menjadi peluang terbaik buat naib juara 2017 ini untuk mendakap satu kejuaraan musim ini selepas tampak gagal dalam perebutan mahkota kejuaraan liga yang hampir pasti milik Johor Darul Takzim.

Namun, skuad bimbingan Dollah Salleh seharusnya tidak memandangkan mudah skuad PKNP selaku pasukan underdog yang berpontensi melakar kejutan dalam saingan kali ini.

Menerusi rombakan barisan pemain terutama pemain import pada jendela perpindahan kedua, skuad kendalian Abu Bakar Fadzim tampak lebih mantap untuk menghadirkan tentangan sengit kepada lawan dalam usaha mereka melangkah ke final, sesuatu yang bukan mustahil.

Jadi, penulis percaya dua pertemuan menarik ini mampu membangkitkan semula keghairahan peminat terhadap Liga M pada ketika masing-masing masih dalam 'mood' raya dan demam Piala Dunia.

Advertisement

Must Watch Video