Penilaian menyeluruh prestasi skuad bola keranjang negara sepanjang 2025 menyaksikan sekurang-kurangnya satu pingat emas atau dua perak menjadi sasaran dalam temasya Sukan SEA Malaysia 2027 dengan acara 3s (sepasukan) menjadi sandaran utama negara.
Menurut Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock, ketika di Majlis Makan Malam MABA 2026 semalam, segala persiapan menuju ke temasya itu telah bermula menerusi penyertaan dalam beberapa siri perlawanan kompetitif untuk meningkatkan lagi pendedahan antarabangsa buat pasukan.
Advertisement
Perkara itu seiring dengan perancangan yang dirangka, MABA turut menjelaskan bajet keseluruhan bernilai RM9.1 juta telah diluluskan dengan RM7.3 juta akan diperuntukkan buat aktiviti bola keranjang manakala RM1.8 juta lagi bagi kos operasi.
"Kami sasarkan satu pingat atau sekurang-kurangnya dua perak pada Sukan SEA 2027, tahun ini kami mesti mulakan persiapan.
"Kami ada siri perlawanan dan telah meluluskan untuk aktivit tahun ini sebanyak RM7.3 juta tidak termasuk kos operasi berjumlah RM1.8 juta," katanya.
Kejayaan melayakkan diri ke temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 pada Julai nanti Malaysia berada di ranking ke-11 dunia, ia merupakan peluang terbaik buat skuad 3s selain perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
"Pasukan 3s kita sekarang di ranking ke-11 dunia, kami layak ke Sukan Komanwel. Jika dapat medal sangat baik. 21 mata dalam 10 minit jadi semua pasukan ada peluang." tambahnya.