Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Zaquan lebih utamakan kemenangan pasukan

zaqwan-adha.jpg
Penyerang Kedah, Zaquan Adha Abdul Radzak, meletakkan kemenangan pasukan sebagai keutamaannya berbanding memburu jaringan peribadi ketika bertemu PKNS FC dalam Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Kelibat Zaquan ditagih skuad Lang Merah itu memandangkan dia telah menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan Liga Super sebelum ini.

Namun, dia menyedari cabaran sukar yang bakal dijelmakan PKNS FC menjelang perlawanan malam ini.
 
"Perlawanan menentang PKNS merupakan perlawanan yang bukan mudah buat Kedah walaupun beraksi di laman sendiri.

"Bukan mudah untuk pasukan yang berada di atas (kedudukan liga) untuk mengekalkan kedudukan mereka.

"Apa yang penting, kami mengikuti percaturan taktikal yang diberi dan saya yakin jika kami bermain sebagai satu pasukan, kami akan memperoleh kejayaan," katanya.

Zaquan meraih jaringan pertamanya ketika membantu Kedah menewaskan Felda United 4-0, 16 Ferbuari lalu.

Jaringan itu dilihat sebagai hadiah selepas dia mendapat cahaya mata baru.

Justeru, dia mahu menjadikan aksi malam ini sebagai satu lagi aksi istimewa sebagai hadiah ulang tahun perkahwinannya pula.

"Bagi saya, setiap jaringan yang dihasilkan merupakan satu bonus buat saya.

"Jika saya berjaya menjaringkan gol, ia merupakan rezeki buat saya dan keluaraga saya.

"Namun, apa yang penting, pasukan kami meraih mata penuh tanpa mengira siapa yang menjadi penjaring.

"Kami perlu bermain sebagai satu pasukan, menang sebagai satu pasukan dan menjadi juara sebagai satu pasukan," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video