Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Zanetti: Kita terlalu banyak bercakap tentang Icardi

mauro-icardi.jpg
Naib Presiden Inter Milan, Javier Zanetti, berkata sudah terlalu banyak perbincangan mengenai Mauro Icardi berhubung kekaburan masa depan penyerang itu.

Icardi tidak pernah turun beraksi sejak dilucutkan tugas kapten, bulan lalu.

Bintang penyerang itu mendakwa dirinya masih cedera walaupun pasukan perubatan Inter gagal mengenal pasti sebarang isu mengenai kecergasannya.

Selepas desas-desus perpindahannya ke Real Madrid, Juventus dan Napoli seakan-akan berpenghujung, Icardi kembali menyertai sesi latihan Inter semalam.

Ditanya sama ada Icardi akan tersenarai dalam pertemuan Serie A menentang Lazio hujung minggu ini, Zanetti berkata: "Saya berasakan kita sudah terlalu banyak bercakap mengenainya.

"Kami kini perlu memberikan tumpuan di atas padang kerana ia amat diperlukan menjelang hujung musim ini."

Inter kini di tangga ketiga Serie A dengan kelebihan dua mata di depan pasukan di tangga keempat, AC Milan, selepas pelawanan 'derby' menjelang waktu rehat antarabangsa.

 Zanetti menambah: "Sasaran kami adalah untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah.

"Hanya tinggal 10 perlawanan lagi dan kami akan bertemu seteru utama, Ahad ini.

"Pasukan ini sedang melakukan persiapan sebaik mungkin," tambahnya.

Tedapat dakwaan bahawa Icardi masih mempunyai hubungan tegang dengan beberapa rakan sepasukannya di Inter.

Pertahanan tengah, Milan Skriniar, memberitahu Sport.sk: "Anda perlu bertanyakannya kepada Icardi tentang apa yang terjadi.

"Sudah pasti kami sebagai pemain tidak mempunyai masalah dengannya.

"Ia terpulang kepadanya untuk menamatkan situasi ini," katanya.

Advertisement

Must Watch Video