Skip to main content

Bola Sepak

Zainol terkejut dengan sambutan

img_20190130_214915.jpg
Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, terkejut dengan kehadiran ramai  warga Manjung ke majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain pasukan Liga Super kelab itu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), sebentar tadi.

"Tak sangka majlis ini mendapat sambutan.

"Ini kemenangan awal bagi PKNP kerana musim lalu kami bermain di dalam stadium kosong di Batu Kawan.

"Namun, malam ini kami berjaya menarik sokongan penyokong tempatan dan saya yakin langkah menjadikan Stadium Manjung sebagai gelanggang kami bertepatan sekali," katanya kepada pemberita.

Kira-kira 5,000 peminat pasukan konglomerat itu hadir ke majlis selama dua jam itu yang menyaksikan pemain seperti Asyraf Omar, Yashir Pinto, Hafiz Ramdan dan Hafiz Kamal antara yang memperagakan jersi jenama Admiral berwarna kelabu, oren dan biru.

Menurut Zainol, pasukan itu mengekalkan warna tradisi, iaitu oren yang menjadi jersi bermain di tempat sendiri serta kelabu.

Beliau yang juga penasihat Menteri Besar Perak juga teruja kerana sambutan hangat diberikan terhadap tiket bermusim yang buat pertama kali diperkenalkan yang menerima kira-kira 200 tempahan.

"Semua ini petanda baik baik buat kami dan saya berharap pemain akan mengusahakan pencapaian terbaik musim ini," katanya.

Zainol berkata sasaran PKNP FC ialah menduduki lima tempat teratas serta mara ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video