PIALA FA
Zainal puji aksi Pulau Pinang
Pulau Pinang mempamerkan aksi cemerlang dalam memastikan mereka melangkah ke pusingan ketiga Piala FA selepas menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-1 di Stadium Shah Alam, semalam.
Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu mencari ramuan terbaik untuk bangkit daripada kekalahan kepada PDRM (1-0) dalam aksi pada 24 Februari lalu.
Pulau Pinang tampak cemerlang dan tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan menerusi sepakan percuma Ken Ilso pada minit ketujuh sebelum menambah jaringan hasil percubaan Kang Seung-jo.
Iklan
Ilso mencetak gol kedua dalam perlawanan sebelum tamat separuh masa menjadikan kedudukan 3-0.
Pengendali PDRM, Zulhamizan Zakaria, menyifatkan dua gol awal Pulau Pinang itu telah merencatkan perancangan pasukannya, sekali gus menyaksikan mereka tersingkir.
"Saya agak terkejut apabila memberikan dua gol mudah kepada lawan. Kami cuba untuk mengubah gaya permainan tetapi segalanya telah terlewat," katanya.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Zainal dan Pulau Pinang kerana mara ke pusingan seterusya."
Zainal pula memberi pujian kepada pemain-pemainnya di atas aksi cemerlang mereka.
"Pulau Pinang telah bermain dengan baik selepas mempamerkan keinginan untuk melakar kemenangan. Pasukan telah berusaha dari awal permainan untuk mencipta kejayaan ini," katanya.
Gol sagu hati PDRM hadir pada minit akhir perlawanan menerusi Agzim Redzovic.
Kredit: FA Penang
Must-Watch Video