Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Yusri yakin Kuala Lumpur mampu bangkit

yusri.jpg
Pengendali Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, optimis anak didiknya mampu bangkit dalam perlawanan berikutnya menentang Selangor, Ahad ini, biarpun hanya menduduki tangga tercorot Liga Super.

Yusri mengakui bahawa anak didiknya berada dalam keadaan tertekan tetapi mereka harus segera bangkit memburu mata pertama selepas mengharungi empat perlawanan. 

"Selepas kekalahan kepada Melaka 0-2 hari ini (malam tadi) tekanan meluap-luap, saya tidak mahu menunjukkan diri tertekan di hadapan pemain kerana saya tahu mereka lebih tertekan.

"Tiada jurulatih yang mahukan kekalahan demi kekalahan, saya menerima keputusan ini walaupun berat dan akui kami masih jauh ditinggalkan daripada banyak aspek tetapi kami sudah tentu mahu meningkatkan prestasi untuk menentang Selangor," katanya dalam sidang media selepas perlawanan Liga Super di antara pasukan Melaka dan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat.

Dalam perlawanan itu, skuad The City Boys tumpas 0-2 kepada tuan rumah menerusi jaringan Darko Markovic dan Mohd Nazrin Nawi, masing-masing pada minit ke-14 dan 16.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Yusri berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan kesungguhan dan semangat yang dicurahkan pasukan walaupun tidak gembira dengan keputusan kekalahan itu. 

Sementara itu, ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, berkata misi mendapatkan tiga mata dalam perlawanan itu tercapai dan ia amat penting untuk memastikan pasukan itu berada dalam kelompok lima terbaik.

“Kejayaan malam ini telah mengembalikan semula tahap keyakinan pemain dan saya berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan oleh setiap pemain,” ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video