Pemangku ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, mahu merombak formasi pasukannya ketika menentang Perak dalam Liga Super di Stadium Perak,malam ini.

Rombakan itu terpaksa dilakukan dalam usaha TRW bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut dan paling penting, keluar daripada zon penyingkiran.

"Banyak rombakan terpaksa dilakukan, terutama formasi pasukan, kerana dalam beberapa aksi terakhir liga, apabila kami melakukan serangan, bahagian pertahanan terlalu terbuka yang memudahkan pihak lawan menyerang balas.

"Contohnya, apabila kami kalah 2-0 dengan PKNS FC, dua kali dalam situasi yang sama apabila kamiserang dan terlepas, kemudian lawan melakukan serangan balas menyebabkan barisan pertahanan gagal bertahan dengan baik dan melepaskan jaringan.

"Ini yang kami tidak mahu pemain lakukan lagi dan saya terpaksa lakukan rombakan formasi sambil mengharapkan pemain faham dengan apa yang saya inginkan dan terjemahkan di atas padang," katanya.

Selain barisan pertahanan, Yusri juga mahukan jentera serangan TRW lebih tajam di depan gol lawan dan jangan membazir peluang yang terhidang.

"Tidak kiralah sama ada anda mendapat satu peluang dalam 90 minit permainan, sudahkanlah dengan jaringan. Bukankah itu lebih baik untuk pasukan?," katanya lagi.

Ditanya mengenai motivasi pemain Kelantan yang semakin menurun akibat kekalahan demi kekalahan yang diterima, Yusri menafikannya, sebaliknya yakin anak buahnya tidak akan menyerah mudah biarpun The Bos Gaurus memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Dalam apa juga keadaan, pemain yang saya turunkan harus memikul tanggungjawab dan patut bangga membawa bendera Kelantan.

"Saya harap sangat pemain kena beri komitmen sepenuhnya supaya peminat datang semula memberi sokongan dan sorakan untuk kami sama-sama berjuang sehingga perlawanan terakhir," katanya.

Yusri, yang juga bekas jurulatih Felcra FC, melahirkan rasa bimbang di sebalik kecederaan ringan yang dialami penyerang import kelahiran Brazil, Cristiano Marcolino Santos.

"Dia (Santos) alami kekejangan otot dalam sesi latihan kelmarin.

"Mana-mana jurulatih dalam keadaan sekarang (tempat saya) amat kecewa dengan keadaan ini tetapi saya harap dia cepat pulih dan boleh diturunkan nanti," katanya.