Skip to main content

Bola Sepak

Yusri cabar pemain teruskan momentum kemenangan

img_6895.jpg
Pemangku jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, menghormati kekuatan PKNS FC, namun tetap mengharapkan anak buahnya meneruskan momentum kemenangan dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Katanya, selepas Kelantan mencipta kemenangan ke atas Perak dan menumpaskan Terengganu City FC (TCFC) dalam saingan Piala FA, dia cuba menyusun taktikal terbaik bagi menghampakan skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu.

“PKNS sebuah pasukan yang memiliki pemain berkualiti. Mereka cukup liat untuk dikalahkan. Dalam lima aksi terdahulu dalam Liga Super, mereka hanya tewas tipis kepada Kedah tanpa kehadiran Zachary Anderson dan ketua pasukan, Mohd Safee Mohd Sali.

“Malam ini, kedua-dua pemain itu akan beraksi dan sudah pasti menambah kekuatan sedia ada skuad Semut Merah. Namun, pemain saya sudah bersedia meneruskan momentum kemenangan,” katanya.

Yusri juga mahu merombak sedikit kesebelasan utama yang mencatat kemenangan ke atas Terengganu City FC (TCFC) dalam Piala FA dengan kembalinya pemain import kelahiran Korea Selatan, Do Dong-hyun.

“Kita mahu Dong terus memburu jaringan dan dia sekarang berada dalam prestasi terbaik.

“Barisan pertahanan juga perlu sentiasa fokus kerana sebarang kelalaian di atas padang akan membawa bencana  kepada kami,” katanya

Yusri juga mengharapkan sokongan berterusan penyokong TRW di Lembah Klang  supaya pemainnya terus yakin menghadapi saingan sukar malam ini.

“Sokongan peminat cukup penting dan saya mengharapkan mereka dapat datang ke stadium menyokong perjuangan kami untuk memburu mata penting,” katanya.

Advertisement

Must Watch Video