Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Waspada ancaman Singapura -- Cheng Hoe

clipboard01.jpg
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, tidak memandang mudah cabaran Singapura menjelang aksi Piala Airmarine 2019 pada 20 Mac ini. 

Menerusi pendedahan beberapa pemain utama dalam saingan Liga Super selain dua penjaga gol terbaik mereka di pentas Liga Thailand, Singapura dilihat ibarat api dalam sekam.

Cheng Hoe tidak mahu anak buahnya mengambil mudah aksi pertama Piala Airmarine menentang pasukan yang menduduki ranking ke-165 dunia itu, dua tangga lebih baik daripada Malaysia.

Selain memiliki pemain berkualiti dengan beberapa pemain ternama berhijrah ke Liga Thailand dan Singapura, corak permainan yang bakal di tampilkan anak buah Nazri Nassir itu juga dilihat cukup misteri.

"Kalau dilihat barisan Singapura dalam Piala AFF Suzuki 2018, ramai pemain mereka yang beraksi dalam Liga Malaysia dan Thailand. Jadi, saya rasa mereka telah bersaing di tahap tinggi berbanding sekiranya mereka kekal dalam liga Singapura," kata Cheng Hoe.

Tiga pemain utama Singapura melibatkan Hariss Harun, Safuwan Baharudin dan Syakir Hamzah merupakan antara nadi penting buat tiga skuad terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

Selain kelibat bekas import PKNS FC, Faris Ramli, yang pernah beraksi di pentas Liga Malaysia, kelebihan dan kelemahan skuad Cheng Hoe itu tampak berada dalam genggaman Singapura.

"Kena berjaga-jaga dan berhati-hati dengan pemain Singapura kerana ada empat atau lima orang yang bermain dalam Liga Malaysia. Jadi, mereka sudah faham dan tahu tentang kekuatan setiap individu dalam kem Malaysia," tambah Cheng Hoe.

"Kami tahu bukan mudah bermain dengan Singapura dan jika diimbau sejarah, tidak banyak kemenangan yang diraih. Jadi, aksi agak seimbang."
 

Advertisement

Must Watch Video