LIGA INGGERIS
Vieira anggap barisan Erik ten Hag ada aura juarai EPL
Erik ten Hag mampu memacu Manchester United untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan, menurut pengurus Crystal Palace, Patrick Vieira.
Ten Hag sedang menikmati pra-musim sulung yang baik di Old Trafford yang menyaksikan The Red Devils mencipta kemenangan selesa ke atas Liverpool dan Melbourne Victory dalam siri jelajah di Asia dan Australia dengan menjaringkan empat gol dalam setiap perlawanan.
United terlepas tiket Liga Juara-Juara (UCL) di penghujung musim 2021-22 yang suram termasuk mencatat pungutan mata terendah EPL (58), tetapi Ten Hag sudah sedia menggalas harapan tinggi untuk menghidupkan semula pasukan itu.
Iklan
Seteru itu membuat penambahbaikan untuk mengubah senario dengan membawa masuk pertahanan kiri Feyenoord, Tyrell Malacia, bekas pemain tengah Tottenham dan Brentford, Christian Eriksen, termasuk pertahanan serba boleh Ajax, Lisandro Martinez.
Bercakap ketika pasukannya bersiap sedia untuk perlawanan persahabatan menentang United di Melbourne Cricket Ground, petang ini, Vieira berkata sudah ada tanda-tanda bahawa ramuan pengurus Belanda itu mula menampakkan hasil.
“Saya fikir apabila anda melihat perlawanan pertama mereka menentang Liverpool dan Melbourne, nampaknya pengurus baru mereka telah mula menerapkan sistem permainan yang dihajatinya,” kata bekas kapten Arsenal itu.
“Tetapi anda hanya perlu melihat bakat individu yang ada dalam pasukan itu dan anda tahu United pernah berjuang untuk merebut gelaran EPL.
"Saya fikir tahun ini mereka akan berada di kedudukan itu, sama ada cuba mendapatkan tempat ke UCL mahupun memenangi gelaran."
Must-Watch Video