Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

VAR mampu bantu pengadil -- Guardiola beri reaksi kekeliruan gol ofsaid Sterling

sterling.jpg
MANCHESTER CITY 3 WATFORD 1

Pep Guardiola percaya video bantuan pengadil (VAR) boleh membantu menyelesaikan masalah kontroversi dalam bola sepak selepas jaringan pembukaan Manchester City dipersoalkan dalam kemenangan 3-1 ke atas Watford.


Hatrik Raheem Sterling pada awal babak kedua meletakkan juara bertahan itu di landasan kemenangan untuk menjarakkan diri dengan Liverpool di puncak kepada empat mata.

Begitupun, jaringan pemain sayap England itu pada awalnya dibatalkan akibat ofsaid, namun selepas pengadil berbincang panjang, jaringan berkenaan disahkan.

Sterling berada di kedudukan ofsaid ketika Sergio Aguero menyentuh bola yang bergolek ke arahnya sambil penjaga gawang Watford, Ben Foster, sudah tertewas tetapi bola yang cuba dikeluarkan oleh pertahanan, Daryl Janmaat, terkena kakinya.

Walaupun pengadil, Paul Tierney, dan pembantunya mengambil masa untuk mencapai keputusan tersebut, Guardiola percaya VAR yang akan dilancarkan dalam kempen Liga Perdana musim depan akan menawarkan bantuan. 

"Ulasan pertama yang saya mahu cakap adalah kemenangan ini hadir kerana kami sememangnya berhak. Kami adalah pasukan yang lebih baik di atas padang," katanya ketika ditanya mengenai detik penting pertemuan itu.

"Adalah sentiasa sukar untuk menyerang apabila penyerang seperti Andre Gray ditugaskan sebagai pemain tengah bertahan.

"Ia begitu rumit, tiada ruang buat kami -- hanya bakat pemain yang kami miliki.

"Saya bersimpati dengan Javi dan Watford sekiranya jaringan pertama kami adalah ofsaid tetapi kami menampilkan permainan yang luar biasa.

"Sayang sekali untuk datang ke sini dan soalan pertama yang diajukan adalah mengenai pengadil.

"Saya tidak suka. Jika dia ofsaid, maka saya lebih suka dia dianggap ofsaid. Seperti yang anda katakan, sesetengah orang mengatakan ia adalah ofsaid dan sesetengah orang pula tidak. Jika pemain saya berada di kedudukan ofsaid, saya minta maaf."

Guardiola merupakan penyokong kuat teknologi VAR dan mempertahankan penggunaan teknologi berkenaan meskipun Schalke pernah dihadiahkan dua penalti ketika menentang City dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) bulan lalu.

Dia mendedahkan City mahu ia diperkenalkan di England musim ini, namun tidak sehaluan dengan kelab lain.

"Ada satu penyelesaian yang mudah. Ia sepatutnya sudah diperkenalkan musim ini, sebaliknya akan berlaku pada musim depan. Dengan adanya VAR, perlawanan akan berlangsung lebih adil," katanya.

"Pada awal musim ini, Manchester City mengundi agar VAR diketengahkan tetapi beberapa kelab lain menolaknya." 

Guardiola menambah: "Musim depan, VAR mungkin menjadi penyelesaian dalam situasi seperti ini. Oleh itu, kami tidak perlulah membuang masa untuk membincangkan mengenai keputusan pengadil seperti mana yang berlaku hari ini.

"Saya tidak suka tewas disebabkan keputusan pengadil yang salah. Pengadil mahu membuat keputusan yang baik tetapi perlawanan berlangsung dengan begitu pantas.

"Kalau di kedudukan ini pun sudah ada keraguan, bayangkan kedudukan pengadil yang hanya mempunyai satu saat (untuk membuat keputusan)."
 

Advertisement

Must Watch Video