Skip to main content

Bola Sepak

Van Persie: Sanchez langsung tidak kelihatan gembira di Man United

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

alexis-sanchez.jpg
Alexis Sanchez bergelut di Manchester United kerana dia tidak gembira, kata bekas bintang, Robin van Persie.

Sanchez gagal menunaikan harapan sejak berpindah daripada Arsenal pada Januari 2018 apabila hanya menyumbat lima gol dalam 45 penampilan.

Faktor kecederaan turut menggugat pemain Chile itu apabila hanya melakar satu gol liga musim lalu.

Van Persie, yang juga tiba daripada Arsenal untuk menyertai The Red Devils pada 2012-13, memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam musim pertamanya di Old Trafford -- sejak itu kelab berkenaan tidak lagi menduduki puncak saingan berkenaan. 

Van Persie, yang sudah menggantung but, menjelaskan punca Sanchez gagal mencipta impak di bawah bimbingan Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer di Manchester.

"Dia tidak kelihatan gembira pada pandangan saya," kata Van Persie kepada Daily Mail. 

"Dia kelihatan gembira di Arsenal dan tetapi bukan sekarang. Apa yang saya lihat dan rasakan selama ini adalah berkaitan dengan mental. Kehidupan anda mempunyai pengaruh besar mengenainya."

"Jika anda gembira, anda akan menjadi 50 peratus lebih baik, anda akan mencipta lebih banyak peluang dan menikmati permainan. Jadi, dia harus mencari jalan untuk mengubahnya."

"Kami dalam era yang berbeza," kata Van Persie kepada Telegraph. "Banyak perkara telah berubah sejak beberapa tahun yang lalu. Hari ini, peminat kerap meluahkan perasaan terhadap pemain, termasuk di media sosial, tambahan pula gajinya sering dipersoalkan. Jika dia bermula dengan negatif, maka itu mungkin situasi yang sukar."

Sanchez dipancing oleh Mourinho tahun lalu sebelum pengurus Portugal itu dipecat Disember lalu ekoran keputusan buruk serta kritikan terhadap falsafah bola sepak terlalu bertahan yang diterapkannya.

Van Persie menambah: "Adalah sukar buatnya bermain dalam pasukan yang menerapkan pendekatan bertahan. 

"Saya beraksi di samping pemain yang lebih matang; Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Paul Scholes, Ryan Giggs, Michael Carrick sedangkan ketika di Arsenal, saya adalah salah seorang pemain berpengalaman, jadi saya dengan mudah boleh menyesuaikan diri kerana adanya pemain-pemain seperti itu. 

"Secara mentalnya, saya hanya berseronok, Saya gembira, maka saya hanya menikmatinya.

"Saya langsung tidak memikirkan soal akibatnya. Saya tidak menggunakan media sosial pada masa itu, jadi saya tidak peduli apa yang diperkatakan oleh orang ramai. Saya hanya turun beraksi dengan tanggapan positif, jadi saya bermain dengan rasa seronok."


 

Advertisement

Must Watch Video