Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Van Dijk: Saya sertai Liverpool untuk rebut kejuaraan

van-dijk.jpg
Virgil van Dijk berkata kedudukan Liverpool yang kini berada di puncak Liga Perdana Inggeris merupakan penyebab utama mengapa dia menyertai pasukan itu musim lalu.

Pertahanan Liverpool, Van Dijk, mencetus sensasi buat The Reds sepanjang musim ini dengan membantu pasukan itu melakar rekod 17 perlawanan tanpa bolos dan skuad kendalian Jurgen Klopp itu juga hanya dibolosi sebanyak 18 kali buat masa ini.

Liverpool kini di puncak Liga Perdana dengan hanya berbaki 18 perlawanan lagi walaupun mereka telah beraksi lebih satu perlawanan berbanding pasukan di tangga kedua, Manchester City, yang akan kembali ke kedudukan teratas andai menewaskan Fulham, malam ini.

Dengan aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan Porto juga semakin hampir, Van Dijk menjelaskan kempen hebat Liverpool seperti itu menjadi salah satu punca dia meninggalkan Southampton, Januari tahun lalu.

"Ia sememangnya apa yang saya inginkan," katanya kepada Penerbitan Liga Perdana.

"Saya berharap untuk berada di posisi ini, mencabar kejuaraan Liga Perdana, mara sejauh mungkin dalam Liga Juara-Juara Eropah dan mara ke aksi final kejohanan itu tahun lalu.

"Pada saya, perkara paling hebat adalah memenangi sesuatu untuk Liverpool dan kami masih berpeluang untuk melakukannya, jadi ayuh teruskan pemburuan itu.

"Apa yang paling penting adalah ia menggembirakan saya.

"Kami perlu memberikan segala-galanya agar tidak menyesal pada akhirnya nanti," katanya.

Van Dijk mendapat pengiktirafan sebagai salah satu faktor kekentalan pertahanan Liverpool, namun dia enggan menerima pujian itu dengan menganggapnya sebagai kerjasama sepasukan.

"Di posisi saya, apabila segala-galanya berjalan lancar, amat mudah untuk memperkatakan yang saya merupakan individu yang memperbaiki segala kelemahan.

"Namun, jika keadaan berlaku sebaliknya, saya akan menjadi individu yang dipersalahkan.

"Bagaimanapun, kami melakukannya secara bersama-sama.

"Jika anda lihat bagaimana kami bermain, sama ada dengan menyerang atau bertahan, ia sentiasa bermula dari depan.

"Cara permainan mereka amat luar biasa.

"Sama juga di bahagian belakang, sudah pasti Alisson pelu diturunkan, namun lihatlah bagaimana hebatnya Trent (Alexander-Arnold), Robbo (Andy Robertson), Dejan (Lovren), Joel (Matip) dan sudah pasti Joe (Gomez) sebelum dia ditimpa kecederaan.

"Ia bukan hanya disebabkan seorang pemain, namun ia tidak akan mengubah fakta bahawa saya berasa amat gembira di sini," katanya.

Liverpool akan berdepan Tottenham Hotspur di Anfield, malam esok.

Advertisement

Must Watch Video