Skip to main content

Bola Sepak

Van der Vaart tidak pasti Bale mampu hadapi kecaman di Bernabeu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

garethbale.jpg
Rafael Van der Vaart tidak pasti seberapa lama bekas rakan sepasukannya, Gareth Bale, mampu bertahan di Real Madrid selepas dikecam hebat oleh penyokong pasukan itu di Santiago Bernabeu.

Bale bukanlah pemain utama Madrid sepanjang musim ini dan aksinya disambut dengan ejekan hebat dalam minggu terakhir sebelum Santiago Solari dipecat.

Pemain kebangsaan Wales itu kembali tersenarai dalam kesebelasan utama serta menjaringkan gol dalam perlawanan pertama Zinedine Zidane musim ini, namun masa depannya di Sepanyol kekal kabur.

Bale sebelum ini mendedahkan secara terbuka keinginannya untuk meninggalkan pasukan pada penghujung musim lalu -- sewaktu Madrid masih dikendalikan Zidane.

Bekas pemain sayap Tottenham Hotspur itu masih boleh memenangi kembali hati peminat di Bernabeu, namun Van der Vaart, yang pernah beraksi untuk Madrid dan Spurs, tidak yakin Bale mampu bertahan dengan situasi itu.

"Gareth merupakan pemain yang hebat, namun dia perlu berasa yakin," katanya kepada Evening Standard.

"Dia perlu berasa dihargai.

"Namun, saya tahu Marid merupakan kelab yang sukar andai anda tidak beraksi baik.

"Tidak kira sama ada anda (Cristiano) Ronaldo, Bale atau Van der Vaart, mereka akan membuang anda keluar selepas setahun.

"Anda perlu mengatasinya dan saya tidak tahu sama ada dia mampu untuk melakukannya.

"Saya mengenalinya secara peribadi sewaktu di Spurs.

"Saya berharap dia akan berkata 'Baik, saya akan kembali bangkit'.

"Saya tidak rasakan itu akan terjadi, namun ia akan menjadi kisah yang hebat," katanya.

Impian terhadap Bale itu mungkin akan menjadi sebaliknya dan Van der Vaart menyarankan agar pemain berusia 29 tahun itu lebih mementingkan diri sendiri.

"Ia agak pelik, namun di Belanda, kami sering katakan yang adakalanya kita perlu menjadi jahat.

"Anda juga boleh menjadi jahat dengan positif.

"Dia bernilai €100 juta (RM458 juta), mereka mengeluarkan wang yang banyak untuknya, jadi dia perlu lakukannya.

"Dalam tahun terakhir dia di Spurs, dia mengambil setiap sepakan percuma, dia menentukan segala-galanya.

"Itulah yang perlu dilakukannya sekarang.

"Saya menyedari ia sesuatu yang sukar kerana mereka memiliki ramai pemain berbakat, namun dia perlu melakukan lebih daripada itu," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video