Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Valverde: Messi amat luar biasa di Lyon

lionel-messi.jpg
Lionel Messi amat luar biasa ketika Barcelona ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan menewaskan Lyon 5-1, kata ketua jurulatihnya, Ernesto Valverde.

Messi membuka jaringan di Camp Nou, awal pagi tadi, menerusi jaringan penalti ala "Panenka" sebelum Philippe Countinho menggandakan kelebihan itu dalam babak pertama.

Lucas Tousart memberikan kegusaran buat tuan rumah dengan merapatkan jurang gol kepada 2-1 dalam babak kedua, namun Messi melakukan gerakan solo menarik untuk menewaskan penjaga gol gantian Lyon, Mathieu Gorgelin.

Kapten Barca itu turut menjadi pencetus kepada gol lewat permainan Gerard Pique dan Ousmane Dembele bagi menamatkan aksi kedua pusingan 16 itu dengan dua bantuan jaringan.

"Kami meletakkan tumpuan yang tinggi dalam perlawanan ini, begitu juga Leo. Dia memaparkan aksi yang luar biasa dalam perlawanan ini," kata Valverde.

"Ia amat luar biasa, kami mendominasi perlawanan, mencipta peluang dan menjaringkan dua gol (dalam babak pertama).

"Dalam babak kedua pula, Lyon mengambil risiko yang besar.

"Mereka memberikan tekanan ketika keputusan 2-1, namun penyerang kami memudahkan kemenangan hari ini.

"Ia merupakan perlawanan Liga Juara-Juara dan di peringkat seperti ini, adalah amat normal untuk kami merasai tekanan kerana mereka mahukan keputusan yang lebih baik.

"Dalam Liga Juara-Juara, anda tidak boleh berasa selesa dengan kelebihan dua gol," katanya.

Di sebalik usaha keras yang dilakukan Lyon, Barca kini menempa laluan ke suku akhir buat tahun ke-12 berturut-turut.

Dengan penyingkiran Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG), keempat-empat wakil daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) serta Ajax, Porto dan Juventus akan menantikan undian peringkat suku akhir malam esok.

Bagaimanapun, Barca telah tersingkir di peringkat itu sejak tiga edisi lalu dan Valverde enggan memilih sebarang lawan spesifik yang akan dihadapi pasukan gergasi LaLiga itu.

"Amat mustahil untuk kami memandang terhadap satu-satu lawan.

"Kesemua pasukan sudah membuktikan keupayaan mereka untuk layak.

"Kami akan menantikan seteru yang bakal hadapi nanti.

"Setiap lawan yang akan ditemui pasti menyukarkan kami," katanya.

Advertisement

Must Watch Video