LIGA SUPER MSIA
Usaha sepasukan Penang jadi taruhan sekat Melaka United
Ketua jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan, enggan terus dibuai kejayaan menempah slot separuh akhir Piala FA, sebaliknya berpijak di bumi nyata untuk mengemas kini pasukannya menjelang satu lagi misi getir bertemu Melaka United, malam esok.
Menerusi perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis , Zainal Abidin mengenal pasti kekuatan bekas kelab yang dikemudinya musim lalu itu.
Berdasarkan rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, skuad Harimau Kumbang memegang kelebihan dengan tiga keputusan menang dan dua seri daripada keseluruhan lima perlawanan selain jumlah bolos yang lebih banyak direkodkan Melaka.
Iklan
"Perkara paling penting bagi saya sebagai seorang jurulatih ialah penerimaan barisan pemain terhadap kendalian saya.
"Alhamdulillah mereka boleh menerimanya dengan cepat walaupun ada lagi kedudukan yang terumbang-ambing.
"Tapi berdasarkan taktikal, pasukan telah tunjukkan satu semangat berpasukan yang baik.
"Bertahan bukan sahaja melibatkan pemain pertahanan, kalau mereka kehilangan bola, mereka harus tahu apa yang perlu dibuat dan siapa yang perlu turun.
"Formasi bertahan amat penting. Saya tidak akan salahkan pemain pertahanan apabila kami dibolosi.
"Yang penting di mana kami kehilangan bola maka di situlah formasi itu bermula.
"Bukan mudah tapi mereka telah tunjukkan kemampuan. Walaupun masih lagi dibolosi dan formasi bertahan akan kami perbaiki dalam jangka panjang," katanya dalam sesi persiapan terakhir petang tadi.
Dia juga sedia mengubah pelan permainannya kerana sedar setiap pasukan mempunyai kemampuan tersendiri.
Dengan reputasi penggempur tuan rumah, Sony Norde dan Ifedayo Olusegun, Zainal Abidin tidak rela memberi terlalu banyak ruang buat dua pemain import itu apabila memberi amanat tertentu kepada pemainnya.
"Melaka United mempunyai serangan yang baik dan anak buah saya akan diberikan tugas masing-masing.
"Ia harus dilaksanakan seperti yang ditunjukkan ketika bertemu Terengganu dan Johor Darul Ta'zim," katanya.
Must-Watch Video