England mengesahkan pemain Arsenal, Bukayo Saka, dan pemain Liverpool, Curtis Jones, telah menarik diri menjelang pertembungan Liga Negara-Negara (UNL) UEFA dengan Finland, tengah malam ini.

Saka digantikan oleh Noni Madueke pada minit ke-51 dalam kekalahan mengejut 1-2 kepada Greece di Wembley, kelmarin, selepas mengalami kecederaan di kaki kanannya.

Ia hanya menambah kebimbangan senarai kecederaan barisan Mikel Arteta itu untuk menghadapi Bournemouth, Ahad ini, selepas Martin Odegaard tercedera ketika bertugas antarabangsa untuk Norway bulan lalu.

Saka telah menikmati permulaan yang baik dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini menjaringkan dua gol dan mencipta tujuh bantuan jaringan dalam tujuh perlawanan pembukaan membabitkan The Gunners.

Pemain antarabangsa England itu telah mencipta 27 peluang berbanding pemain lain di bahagian itu dalam penglibatan sembilan golnya hanya diatasi oleh Cole Palmer (11) dan Erling Haaland Manchester City (10).



Lee Carsley juga perlu membuat percaturan tanpa pemain tengah Liverpool, Curtis Jones, yang diserapkan ke dalam skuad Three Lions awal minggu ini sebelum terpaksa menarik diri atas komitmen peribadi.

Jones mendapat panggilan pertamanya pada Mei lalu sebagai sebahagian daripada skuad 33 pemain sementara tidak terpilih dalam skuad akhir EURO 2024.

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan sebahagian daripada tonggak Young Lions yang memenangi Kejohanan B-21 EURO 2023 di bawah kendalian Carsley dengan menjaringkan gol tunggal dalam kemenangan 1-0 ke atas Sepanyol dalam perlawanan akhir.