Kontinjen muda negara meneruskan cabaran Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026 dengan semangat juang yang tinggi bagi empat acara sukan.
Kem wushu negara mencipta detik membanggakan apabila atlet negara, Lim Kai Shen, berjaya mengesahkan tempat ke peringkat akhir.
Kai Shen mempamerkan aksi kemas dan penuh disiplin dalam saingan taijishan dengan kutipan 9.300 mata (tempat kelima pusingan), sekali gus melengkapkan kutipan mata agregat sebanyak 18.623 mata untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan di belakang wakil Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong.
Di gelanggang badminton, perseorangan lelaki negara, Lucas Lee, mempamerkan ketahanan mental yang tinggi dalam saingan Kumpulan F. Berdepan tentangan sengit daripada Felus Ding dari Sweden, Lucas berjaya bangkit menguasai perlawanan untuk mencatatkan kemenangan 2-1 (21-11, 15-21, 21-13).
Sementara itu, di arena akuatik, dua perenang negara mempamerkan renangan bertenaga dalam pusingan saringan 100 meter (M) gaya bebas. Shannon Tan Yan Qing mencatatkan masa 59.98 saat (s) dalam saringan ketujuh kategori wanita, manakala Loo Cheng Feng melakar masa 51.65s dalam saringan ke-10 kategori lelaki.
Meskipun catatan tersebut belum mencukupi untuk mara ke peringkat akhir dengan perbezaan 0.12s dengan perenang di tempat kelapan saringan, aksi bertenaga kedua-dua perenang wajar dipuji tatkala bersaing sengit dengan prospek terbaik dunia.
Cabaran dalam acara bola tampar pantai wanita pula menyaksikan gandingan negara, Goh Yu Heng dan Ong Jing Yi, beraksi hingga ke pusingan 16 terakhir. Pasukan negara bagaimanapun terpaksa akur kepada ketangkasan pasangan dari China menerusi keputusan 0-2 (16-21, 8-21), sekali gus menyekat kemaraan mereka ke suku akhir.
Pentas tumpuan 3 November 2026 bakal terarah sepenuhnya kepada saingan akhir kem wushu, menyaksikan Lim Kai Shen turun memburu kilauan pingat buat kontinjen Malaysia pada jam 5:50 petang dan 11:40 malam waktu Malaysia.