Perlawanan divisyen kedua Sepanyol antara Tenerife dan Andorra telah dihentikan selepas penyerang, Jesus de Miguel, rebah susulan pertembungan dengan penjaga gol pasukan lawan, Jesus Owono. Media tempatan melaporkan bahawa Miguel mengalami serangan jantung dalam perjalanan ke hospital.
Kedudukan perlawanan ketika itu ialah 2-2, tujuh minit memasuki masa kecederaan, apabila Owono meluru ke arah bulatan tengah untuk mengeluarkan bola hantaran jauh dan kelihatan menghentam dada De Miguel dengan lututnya.
De Miguel terbaring kaku sementara pemain daripada kedua-dua pasukan segera meminta bantuan perubatan. Owono dilayangkan kad merah.
Kakitangan perubatan memberikan rawatan kepada penyerang Tenerife itu di atas padang selama lebih lima minit, disaksikan oleh para pemain yang jelas cemas --beberapa rakan sepasukannya malah kelihatan menangis -- sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans.
🔵⚪️ | Golpe fortísimo de Owono sobre Jesús de Miguel que hace que salten todas las alarmas. 🇪🇸👀 🙏🏼 Pronta recuperación a Jesús y que todo quede en un susto 🏟️ Tenerife - Andorra https://t.co/NXopIJ7p9H
— Laliga News (@laligaa_neews) November 2, 2026
Menurut beberapa laporan media tempatan, De Miguel mengalami serangan jantung dan berjaya dipulihkan oleh pegawai kecemasan dalam perjalanan ke hospital.
Laporan tersebut menyatakan bahawa keadaannya kini stabil, namun masih tidak sedarkan diri di jabatan kecemasan hospital berkenaan.