Harry Kane mencetak gol antarabangsanya yang ke-50 ketika England bangkit mengikat Jerman 1-1 dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL), sebentar tadi.
Statistik perlawanan membuktikan penyerang skuad The Three Lions itu cukup berbahaya dalam penampilannya yang ke-71 di pentas antarabangsa berkenaan.
Jaringan Kane itu disempurnakan menerusi sepakan penalti selepas Jerman mendahului permainan hasil penyudah Jonas Hofmann, lima minit selepas permainan bersambung sebelum bintang Tottenham berkenaan dengan tenang mengikat kedudukan pada minit ke-88 untuk memastikan mereka membawa pulang satu mata dari Munich.
Ia adalah satu keputusan yang wajar buat England yang mengatur lebih banyak percubaan (15-10) sekalipun dengan penguasaan 37.3 peratus permainan.
Bercakap kepada media selepas gol ketiga dalam kariernya berdepan Jerman -- sebaliknya lebih berbisa ketika menentang San Marino (lima gol), Bulgaria (empat), Montenegro (empat) dan Albania (empat) -- Kane mengakui sentiasa bernafsu memburu jaringan.
"Saya gemar menyumbat gol, saya sentiasa ada terutama untuk negara," katanya.
50 @England goals. So so proud. Treasure each and every one of them. Never take it for granted. Important point away from home against a tough team. Let’s keep working ???? pic.twitter.com/19cnN2eeQZ
— Harry Kane (@HKane) June 7, 2022
"Jadi bila-bila masa sahaja saya sedia membantu pasukan, ia perkara paling penting.
"Adalah bagus untuk bangkit dengan keputusan ini, ia bukan tempat yang mudah untuk bertandang. Kini kami akan mengharungi dua perlawanan di laman sendiri untuk cuba meraih dua kemenangan.
“Walaupun ketinggalan 0-1, ia menunjukkan karakter baik daripada kami di tempat lawan untuk kembali menyusun permainan dan mendapat keputusan positif ketika menentang pasukan Jerman yang mantap.
"Ia menunjukkan tahap di mana kami berada. Kami masih cuba berkembang, kami bekerja keras dan Piala Dunia akan tiba sekelip mata jadi kami perlu terus melakukannya dengan baik."
Dia sempat menciap di Twitter selepas tamat perlawanan itu: "50 gol untuk England. Sangat membanggakan. Saya menghargai setiap jaringan. Jangan pernah ambil mudah."
England akan meneruskan kempen UNL menentang Itali di Molineux, hujung minggu ini.