Skip to main content

Bola Sepak

United sentiasa dominasi permainan -- Mourinho

mourinhocropped_1nvb54mqrgh3n13kvnfeptnr60.jpg
Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, berasakan bahawa pasukannya sentiasa menguasai perlawanan ketika menewaskan Liverpool 2-1 di Old Trafford, semalam.

Kemenangan di tempat sendiri itu membolehkan United mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga selepas Marcus Rashford menyumbat dua jaringan dan walaupun Eric Bailly menjaringkan gol sendiri, Mourinho tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Kami (Liverpool dan United) boleh memecahkan aksi di Old Trafford kepada dua bahagian. Babak pertama milik Red Devils dan separuh masa kedua dikuasai oleh The Kop tetapi bagi saya, aksi kami dalam 45 minit pertama lebih berbahaya.

“Dalam babak kedua, Liverpool lebih menguasai bola tetapi United mendominasi perlawanan tanpa memegang bola.

“Saya tidak ingat bila David De Gea melakukan aksi hebat, begitu juga dengan detik yang mencemaskan.

“Walaupun ketika kedudukan menjadi 2-1 dan Jurgen Klopp melakukan perubahan, kami masih mengekalkan penguasaan. Ia merangkumi sepakan sudut, sepakan percuma dan situasi bahaya,” katanya.

“Jika anda memegang bola tetapi beraksi buruk ketika bertemu Liverpool, anda akan berdepan masalah. Liverpool memberikan tekanan tetapi kami tetap meneruskan dominasi.

“Ia adalah persembahan yang sempurna daripada kami, jadi saya rasa United berhak menang.

“Saya sangat penat dan kami berdepan aksi Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Rabu ini.

"Bagaimanapun, saya tidak hiraukan apa yang diperkatakan oleh orang ramai. Pemain-pemain gembira, begitu juga saya.”

United bakal melayani kunjungan Sevilla bagi aksi timbal balik pusingan kedua dan sudah pasti The Red Devils memburu slot ke suku akhir selepas terikat 0-0 dalam perlawanan pertama.

Advertisement

Must Watch Video