Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

United mampu bangkit berdepan PSG -- Solskjaer

ole-gunnar-solskjaer.jpg
Ole Gunnar Solskjaer berasakan kebangkitan yang ditampilkan Manchester United ketika mengatasi Southampton mampu menyalurkan keyakinan menjelang aksi Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Paris Saint-Germain (PSG), Rabu ini.

Dua jaringan daripada Romelu Lukaku dan satu gol daripada Andreas Pereira mengubah keputusan perlawanan memihak United untuk merakamkan kemenangan 3-2 ke atas Southampton di Old Trafford, semalam.

Keputusan itu menghadirkan kebangkitan menjelang aksi wajib menang apabila berdepan PSG di Parc des Princes, yang mendahului 2-0 menjelang aksi kedua berkenaan.

United memerlukan setiap keringat untuk memadam kelebihan jaringan di Paris tetapi pengendali sementara, Solskjaer, yakin dengan kemampuan pasukannya.

"Kami tidak sabar menantikan aksi Rabu ini," kata Solskjaer.

"Kami menyedari ia perlawanan yang sukar tetapi siapa yang tahu? Ia pernah berlaku sebelum ini. Kelab ini telah melalui banyak kebangkitan hebat."
 
"Liga Juara-Juara telah menawarkan beberapa daripadanya, Barcelona menentang PSG (pada 2017).

"Kami berasa selesa bermain di luar daripada tempat sendiri, kami mendapat lapan kemenangan berturut-turut."

United bakal turun tanpa Paul Pogba di Paris selepas pemain tengah itu dilayangkan kad merah ketika kekalahan aksi pertama.
 
Pemain berusia 25 tahun itu menjadi tunjang kebangkitan United yang kini menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun melepaskan peluang untuk meledak jaringan berdepan Southampton apabila sepakan penaltinya berjaya ditampan keluar penjaga gol, Angus Gunn.

Solskjaer menegaskan Pogba perlu melupakannya dan berharap untuk menjaringkan gol dalam aksi seterusnya.

"Saya memberitahu kepada Pogba, 'Bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya kerana anda akan kekal sebagai pengambil sepakan penalti pasukan'.

"Saya pernah gagal menyempurnakan sepakan penalti. Ia adalah perkara biasa," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video