Skip to main content

Bola Sepak

UniSZA jadi tumpuan kejohanan bola sepak antarabangsa

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

unisza.jpg
Akademi Bola Sepak UniSZA yang berpangkalan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, Terengganu mencipta penanda aras tersendiri untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan bola sepak berstatus antarabangsa yang dijenamakan sebagai UniSZA International Youth Cup pada 13 dan 14 September ini nanti.

Sasaran penyertaan pasukan peringkat usia di bawah 14 tahun (B-14) sehingga lapan tahun ke bawah sehingga kini telah menerima sebanyak 72 pasukan untuk berentap termasuk dari Indonesia dan Singapura yang telah mengesahkan tempat di Stadium UniSZA, Kampus Gong Badak.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Professor Madya Datuk Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff Che Abdullah, menjelaskan kekuatan UniSZA selaku tuan rumah adalah fasiliti-fasiliti di pusat sukan universiti ini diiktiraf oleh badan-badan induk sukan dunia, sekali gus menjadi tambah nilai yang terbaik untuk penganjuran sulung ini nanti.

“Untuk edisi sulung ini kita menyasarkan penyertaan maksimum adalah sebanyak 120 pasukan keseluruhan di mana tiga padang perlawanan di Pusat Sukan UniSZA ini akan digunakan sepenuhnya.

“Tambah nilai terbaik buat setiap pasukan bertanding sudah tentu tumpuan untuk menggunakan padang sintetik yang baru siap dibina di mana padang ini juga mendapat pengiktirafan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selaku badan induk dunia sukan bola sepak untuk kami menganjurkan sebarang kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Selain dari padang sintetik itu, lain-lain fasiliti sukan yang terdapat di Pusat Sukan UniSZA ini sememangnya mempunyai pengiktirafan dari badan induk sukan masing-masing yang secara tidak langsung memberi tambah nilai buat UniSZA sebagai sebuat institusi pendidikan tinggi yang turut memfokuskan kecermelangan sukan di kalangan pelajar-pelajar ini. 

“Penganjuran ini secara asasnya merupakan sebahagian dari kerangka pelan strategik program pembangunan sukan bola sepak di bawah kelolaan UniSZA iaitu Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids yang telah bermula sejak dua tahun lalu,” katanya.

Jelasnya lagi, UniSZA melalui Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids mengambil inisiatif selaku penganjur di atas semangat tanggungjawab sosial untuk mengangkat martabat akademi-akademi bola tempatan ke pentas yang lebih tinggi, sekali gus memberi cabaran baharu untuk bakat-bakat muda secara lebih kompetitif.

Situasi ini secara tidak langsung memberi hala tuju jelas buat setiap pelatih mahupun akademi itu sendiri untuk memberi galakan dan keyakinan kepada generasi baru mahupun ibu bapa dan penjaga itu turut sama terlibat di dalam ekosistem pembangunan sukan yang mampu membina karakter mahupun sahsiah anak-anak mereka.

Untuk rekod, penganjuran kejohanan bola sepak berstatus antarabangsa ini merupakan kali pertama seumpamanya melihat Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai tuan rumah di negeri-negeri Pantai Timur ini.

UniSZA International Youth Cup edisi sulung yang dijadualkan untuk sepak mula pada 13 dan 14 September 2025 ini nanti menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM 30,000.00 yang mempertaruhkan empat kategori iaitu B-14, B-12, B-10 dan B-8.

Advertisement

Must Watch Video