Sri Pahang diingatkan jangan sekadar pandai berjanji.
Pesanan itu dilontarkan ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad, kepada anak buahnya agar tidak omong kosong, sebaliknya mengotakan janji untuk menjelmakan kebangkitan dalam kempen Unifi Piala Malaysia.
Tok Gajah perlu bangkit dalam pertemuan separuh akhir pertama menentang Sabah di Stadium Likas itu Sabtu ini setelah dikejutkan Negeri Sembilan 1-2 dalam aksi Liga Super minggu lalu.
Fandi menegaskan peluang mereka untuk melakar kejayaan dalam Piala Malaysia bergantung kepada kemahuan pemain sendiri, sama ada mahu melakukannya atau sebaliknya.
"Mereka tahu boleh bermain di tahap tinggi. Mereka juga tahu bahawa mereka perlu bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan disiplin.
"Hari-hari saya beritahu mereka, dalam bola sepak disiplin adalah (perkara) paling penting (dengan tunjukkan) keazaman, dedikasi di dalam dan di luar latihan.
"Tapi paling penting kemahuan mereka. Kalau mereka berkehendakkan, (pasti) boleh," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Sri Pahang kembali diperkuatkan penjaga gol Zarif Irfan Hashimuddin yang sebelum ini disisihkan dalam aksi suku akhir kedua bertemu Perak ekoran digantung satu perlawanan.
Kelibat Zarif Irfan untuk menguatkan lagi benteng akhir secara tidak langsung menyaksikan juara empat kali kejohanan itu akan menampilkan barisan terbaik dalam misi meraih bekalan selesa.
"Selepas perlawanan, semua pemain cakap kita boleh lagi tapi hanya cakap di mulut. Barisan kejurulatihan harus tekankan persiapan perlawanan ini.
"Kami akan bermain di luar, kami perlu tengok kemahuan dan tahap kecergasan yang lebih tinggi dalam kalangan pemain," katanya.
Shaiful Shamsudin
Thu Jan 16 2025