Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

UKM belum puas hati menang besar

ukm-fc.jpg
UKM FC meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Perdana 2019 dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Sarawak malam tadi sambil pengendali Sarawak, Mohd Farhan Abdullah, menerima kesannya apabila direhatkan serta-merta.

Ternyata, kekalahan besar Sarawak itu mendorong Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS) merehatkan Farhan dan penolong jurulatih, David Usop.

Terdahulu, skuad kendalian Sulaiman Husin itu mampu tersenyum lebar apabila tidak perlu menunggu lama untuk menjaringkan gol selepas pemain import, Micheal Ijezie, dijatuhkan dalam kotak penalti, kurang 10 minit selepas sepak mula.

Tersentak dengan situasi itu, skuad Ngap Sayot mula mengorak langkah untuk memburu gol penyamaan tetapi tuan rumah tidak begitu mudah memberi laluan kepada lawan apabila utuh di benteng.

Memasuki babak kedua perlawanan, pelawat dilihat lebih banyak bertumpu di kubu lawan dengan beberapa percubaan bahaya tetapi gagal menemui penyudah berkesan.

Percubaan Bobby Gonzales di dalam kotak penalti juga tidak membuahkan hasil apabila sepakannya pada minit-70 sedikit tersasar di tepi gawang gol.

Nasib ibarat masih tidak menyebelahi Sarawak apabila UKM memperoleh penalti kedua selepas Mateo Roskam dijatuhkan pada minit ke-81 untuk tuan rumah di depan dengan dua gol.

UKM terus berpesta gol apabila Mohd Hariz Fazrin dan Mohd Akmal Md Zahir menambah dua lagi jaringan dalam masa kecederaan.

"Saya dah beritahu kepada pemain-pemain, kalau ingin bersaing dalam Liga Perdana, kami perlu mula memenangi perlawanan dan kadang-kadang permainan cantik tidak semestinya menjamin kemenangan.

"Pemain perlu masuk ke padang untuk mendapatkan tiga mata dan mereka berjaya melakukannya.

"Cuma ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki," kata Sulaiman. 

Advertisement

Must Watch Video