Skip to main content

Bola Sepak

Ujian sampel kedua Syihan turut positif

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ahmad-syihan-hazmi-mohamed,.jpg
Hasrat penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara, Ahmad Syihan Hazmi, untuk mengharapkan 'keajaiban' tidak kesampaian selepas sampel B yang diuji tetap positif metabolite methandienone.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam laporan BH Online, lewat semalam. 

"Kami baru menerima makluman daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan saya boleh sahkan bahawa sampel B yang diuji tetap positif.

"AFC juga sudah menghantar surat dan perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib AFC. Jadi, kami perlu menunggu apa keputusan mereka selepas ini," katanya.

Berdasarkan kesalahan penggunaan bahan terlarang seperti yang termaktub dalam peraturan AFC, penjaga gol Negeri Sembilan itu boleh berdepan hukuman penggantungan dua hingga empat tahun.

Sebelum ini, arena bola sepak tanah air dipalit  kontroversi baru apabila Syihan gagal dalam ujian doping ketika menyertai Kejohanan B-23 AFC di China bulan lalu.

Ujian sampel B Syihan dilakukan pada 12 Februari lalu selepas ujian sampel A yang dilakukan ketika kejohanan di China disahkan positif metabolite methandienone.

Bagaimanapun, penjaga gol berusia 22 tahun itu menafikan mengambil sebarang bahan terlarang, namun mengakui kesilapannya mengambil bahan sumber protein yang mungkin menjadi penyebab dia gagal ujian doping itu.

Menurutnya, bahan protein yang diambilnya sejak Mei lalu itu hanyalah makanan tambahan untuk kecergasan selepas melakukan latihan.

Advertisement

Must Watch Video