SEVILLA 3 MANCHESTER UNITED 0
(Sevilla ke separuh akhir dengan agregat 5-2)
Manchester United sekali lagi memberikan Sevilla dua gol mudah untuk disingkirkan lawan itu dengan kekalahan 0-3 dalam perlawanan suku akhir kedua Liga Europa (UEL) di Estadio Ramon Sanchez Pizjuan awal pagi tadi.
Dua gol lewat permainan di Old Trafford minggu lalu menyaksikan Sevilla mengikat United 2-2, sekali gus menjadikan aksi timbal balik kali ini sebagai penentu pasukan mana lebih layak ke separuh akhir.
Dan satu lagi aksi bertahan buruk dipamerkan United untuk mereka disingkirkan dengan Youssef En-Nesyri memanfaatkan kesilapan Harry Maguire dan David de Gea untuk menjaringkan dua gol penting buat Sevilla.
Loic Bade turut menemui sasaran untuk pasukan tuan rumah itu meneruskan kemaraan dengan kelebihan agregat 5-2 bagi mencongak perhitungan dengan Juventus dalam penentuan ke final.
United memperoleh dua jaringan awal dalam aksi pertama minggu lalu tetapi kali ini, mereka menjadi penyumbang kepada kekalahan sendiri untuk Sevilla membuka jaringan seawal minit kelapan.
De Gea melakukan hantaran kepada Maguire, yang kemudian segera dikerumuni tiga penyerang lawan di bucu kotak penalti dan percubaannya untuk mengeluarkan bola dipintas oleh Erik Lamela sebelum En-Nasyri tenang menyudahkan jaringan pembukaannya.
Sevilla terus memberikan ancaman ke gawang United tetapi video bantuan pengadil (VAR) menafikan jaringan Lucas Ocampos kerana Marcos Acuna terlebih dahulu berada di kedudukan ofsaid pada lima minit terakhir sebelum ke bilik persalinan.
Kelegaan itu, bagaimanapun, hanya bersifat sementara buat pelawat, di mana sepakan penjuru Ivan Rakitic kemudian tepat menemui Bade sebelum bola menerjah masuk ke gawang De Gea pada awal babak kedua.
Dan segala bibit-bibit kebangkitan yang direncanakan United musnah pada sembilan minit terakhir apabila De Gea bertindak keluar dari kawasannya dan gagal mengeluarkan bola dengan sempurna untuk En-Nesyri memanfaatkan kesempatan itu dengan melepaskan sepakan lencong ke dalam gawang The Red Devils.
Muzaffar Musa
Thu Apr 20 2023