Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

UEL: Ia jelas sepakan penalti buat Barcelona -- Xavi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

xavi.jpg
Ketua jurulatih Barcelona, Xavi, berasakan pasukannya telah dinafikan satu "sepakan penalti yang amat jelas" ketika terikat 2-2 dengan Manchester United awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bermutu tinggi di Camp Nou, di mana perlawanan playoff pusingan kalah mati Liga Europa (UEL) itu kini akan ditentukan dalam perlawanan timbal balik di Old Trafford minggu depan.

Marcos Alonso membuka jaringan pada minit ke-50 tetapi United segera memberikan respons untuk berada di depan sembilan minit berselang hasil jaringan Marcus Rashford dan gol sendiri Jules Kounde.

Bagaimanapun, Raphinha kemudian menjadi penyelamat tuan rumah pada minit ke-76, di mana pemain sayap itu melakukan lintangan yang terus menerjah masuk ke gawang United sebelum Barca melakukan segala-galanya untuk memenangi perlawanan itu.

Terdapat banyak drama pada penghujung saingan itu, di mana Xavi berpandangan pasukannya sepatutnya diberikan sepakan penalti selepas bola terkena lengan Fred.

"Bagi saya, ia amat jelas sepakan penalti," katanya kepada Movistar+.

"Saya terus berjumpa pengadil untuk memberitahu mengenai perkara itu selepas tamat perlawanan. Ia amat jelas.

"Itu pandangan saya dan saya tahu ia tidak akan mengubah apa-apa.

"Pengadil itu berkata bola terlalu dekat dengan tubuh Fred tetapi bagi saya tidak. Ia amat jelas satu sepakan penalti," katanya.

Kedua-dua pasukan itu akan kembali bertemu bagi aksi timbal balik di Old Trafford minggu depan.
 

Advertisement

Must Watch Video