Skip to main content

Bola Sepak

UCL: Tiada ruang buat Porto, Celtic

porto.jpg
Porto dan Celtic tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) sambil pasukan yang mara separuh akhir musim lalu, Ajax, melangkah ke pusingan seterusnya. 

Ia adalah hari mengecewakan buat dua pasukan ternama itu apabila terkandas dalam pusingan ketiga kelayakan berikutan masing-masing tewas kepada Krasnodar dan CFR Cluj.

Porto, yang memainkan peranan di peringkat kumpulan dalam tiga kempen terakhir, termasuk lolos ke suku akhir musim lalu, diatasi 2-3 oleh pelawat, Krasnodar, awal pagi tadi. 

Krasnodar memimpin permainan menerusi ledakan hatrik penyerang, Magomed Suleymanov, dalam babak pertama untuk wakil Russia itu lolos menerusi jaringan di tempat lawan selepas terikat 3-3.

Juara Scotland, Celtic, pula tersungkur kepada pasukan yang mengharungi pusingan play-off, Cluj, yang meraih kemenangan 4-3 di Glasgow untuk melakar kemaraan agregat 5-4. 

Celtic membawa bekalan 3-2 dalam pertemuan timbal balik itu dan selepas 76 minit permainan, Billel Omrani dan George Tucudean menghasilkan jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir untuk melenyapkan sorakan di Parkhead dan membolehkan wakil Romania itu merakam kejayaan manis. 

Ketua pasukan Ajax, Dusan Tadic, pula meledak jaringan berganda untuk skuad bimbingan Erik ten Hag itu mengalahkan PAOK 3-2 di Amsterdam, di mana pemegang Eredivisie itu melepaskan diri 5-4 secara agregat.

Tadic yang meledak dua kali tetap gagal menyempurnakan penalti untuk Ajax cuba mengulangi prestasi luar biasa di pentas UCL musim lalu di sebalik ketidakpastian masa depan Donny van de Beek yang menjadi sasaran Real Madrid.

Di Copenhagen, 22 penalti dilakukan sebelum Red Star Belgrade muncul pemenang dramatik dengan keputusan 7-6. 

Penentuan penalti itu diperlukan setelah aksi di antara Copenhagen dan Red Star itu berakhir 2-2 secara agregat selepas terikat 1-1 di Telia Parken, awal pagi tadi. 

Basel dan Dynamo Kiev turut tersingkir yang menyaksikan kemaraan LASK, Club Brugge, Dinamo Zagreb, Olympiacos, APOEL dan Rosenborg.

Jadual perlawanan play-off: 

CFR Cluj lwn Slavia Prague
APOEL lwn Ajax
LASK lwn Club Brugge
Dinamo Zagreb lwn Rosenborg
Young Boys lwn Red Star Belgrade
Olympiacos lwn Krasnodar
 

Advertisement

Must Watch Video