Simone Inzaghi enggan memberi jaminan kepada Romelu Lukaku bahawa penggempur itu akan menerajui jentera Inter ketika menghadapi Porto di sebalik mengakhiri kemarau golnya, Ahad lalu.

Lukaku sekadar menyumbangkan tiga gol sejak kembali ke Inter dalam permulaan musim ini.

Penggempur Belgium itu nyata bergelut dengan prestasinya dalam kempen ini malah gagal menemui sebarang sentuhan penyudah dalam Piala Dunia di Qatar.

Tetapi sepakan penaltinya ke atas Udinese yang merupakan jaringan pertamanya dalam Serie A sejak Ogos mampu melonjakkan keyakinannya apabila bertemu Porto dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Bagaimanapun, pengurus Inter tersebut dalam sidang akhbar pra-perlawanan itu menegaskan bahawa ia tidak bermakna Lukaku pasti akan memulakan permainan, malah Inzaghi mengakui masih memiliki keraguan terhadap barisan yang bakal diketengahkannya.

Edin Dzeko jelas akan menjadi alternatif buat kelibat Lukaku selepas melakar 11 jaringan musim ini di sebalik mereka digandingkan ketika membenam Udinese.

Ditanya secara khusus mengenai situasi Lukaku dan pemain tengah, Marcelo Brozovic, Inzaghi berkata: "Lukaku telah bekerja lebih lama dan bertambah baik. Dia mencurah usaha tinggi.

"Bagi kedua-dua pemain, esok kami akan cuba membuat pilihan terbaik buat Inter.



"Mereka yang tidak diturunkan dalam kesebelasan masih mempunyai fungsi untuk perlawanan ini."

Inter belum pernah melepasi peringkat 16 UCL sejak musim 2010-11 yang menyaksikan mereka turun dengan reputasi juara bertahan.

Tetapi setelah melolosi kumpulan sukar yang mengandungi Barcelona dan Bayern Munich, keyakinan tinggi anak buahnya kian meningkat.

"Kami mengharungi kempen ini dengan penuh keyakinan," katanya lagi.

"Kami mara menerusi perjalanan yang luar biasa. Di atas kertas, Barcelona dan Bayern Munich merupakan kelab yang semua orang ingin elakkan.

"Anda dapat melihat apa yang dilakukan Barca dalam LaLiga dan kita juga tahu apa yang dicapai Bayern."