Skip to main content

Bola Sepak

UCL: Guardiola gesa Manchester City tamatkan perjuangan Bayern di Munich

pep-guardiola.jpg
Pep Guardiola mengakui kejayaan Manchester City menewaskan Bayern Munich 3-0 dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam merupakan satu keputusan yang amat-amat baik tetapi menegaskan bahawa tugas mereka masih belum selesai.

Aksi dominan ke atas juara Jerman itu menyaksikan City akan membawa kelebihan selesa menjelang tandangan ke Bavaria awal pagi Khamis depan dan mereka tidak boleh mensia-siakan kelebihan itu seandainya mahu ke separuh akhir.

City juga sedang berada di prestasi terbaik, di mana mereka memenangi kesemua sembilan perlawanan terakhir dan menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol dalam tujuh daripada perlawanan itu.

Gol daripada Rodri, Bernardo Silva dan Erling Haaland -- yang menjaringkan gol ke-45 peribadinya musim ini -- memastikan Bayern bimbingan Thomas Tuchel berada dalam situasi genting untuk bangkit dalam perlawanan timbal balik berkenaan.
 
Guardiola, yang turut pernah bertindak sebagai ketua jurulatih Bayern, mengakui kelab Jerman itu pasukan yang lebih baik dalam babak pertama pertemuan berkenaan sebelum City bangkit mendominasi separuh masa berikutnya.

Dia, bagaimanapun, menggesa anak buahnya untuk menamatkan perjuangan Bayern dengan memenangi aksi di Munich minggu depan.

"Sudah pasti, apabila anda berada di sana, anda pasti sedar betapa bagusnya Bayern Munich sebagai sebuah pasukan," kata Guardiola kepada BT Sport.

"Sepanjang 55 hingga 60 minit, ia merupakan perlawanan yang sengit dan terdapat banyak momen di mana mereka lebih bagus berbanding kami."

Tambah Guadriola, jaringan kedua pasukannya oleh Bernardo Silva pada minit ke-70 benar-benar membantu mereka, tidak lama selepas Bayern membawa masuk Sadio Mane.

"Kami melakukan beberapa perubahan dan tekanan yang kami berikan menjadi lebih efektif.

"Kami mengawal bola dengan lebih baik dan saya gembira dengan keputusan ini tetapi saya pernah tiga tahun di Munich, saya tahu mentaliti Bayern Munich, saya tahu kualiti yang mereka miliki.

"Ini adalah keputusan yang amat-amat baik tetapi kami masih perlu menghadapi perlawanan kedua.

"Pemain kami menyedarinya. Tidak perlu saya memberitahu mereka mengenai perkara itu di depan anda hari ini, esok atau sebelum perlawanan tentang betapa sukarnya cabaran yang mereka akan hadapi.

"Bayern sememangnya pasukan yang bagus tetapi kami akan turun dengan mentaliti untuk bersaing dan memenangi perlawanan itu," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video