Pep Guardiola mencabar Manchester City untuk mengecap pencapaian istimewa dengan memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat tahun kedua berturut-turut.

Juara 'treble' musim lalu itu akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan Eropah apabila melayani kunjungan Red Star Belgrade di Stadium Etihad awal pagi esok.

City akhirnya menamatkan penantian panjang untuk memenangi gelaran Eropah pertama musim lalu tetapi walaupun Guardiola berbangga dengan pencapaian pasukannya, dia berasakan misi mereka masih belum berakhir.

Pengurus City itu berkata dalam sidang media: "Saya mahu katakan bahawa pencapaian kelab kami memenangi UCL merupakan sesuatu yang luar biasa -- kali pertama dalam sejarah kami -- tetapi dalam perspektifnya, berapa banyak pasukan sudah memenangi UCL sebanyak sekali?

"Banyak pasukan sudah menang dua, tiga, empat, lima kali. Secara perspektifnya, kami tidak melakukan sesuatu yang luar biasa. Hanya sekali.

"Ayuh lakukan. Ayuh mencuba untuk menang ke atas sebuah pasukan yang amat agresif dan amat pantas di bahagian depan, esok," katanya.

Untuk rekod, City bergelar juara Eropah musim lalu selepas menewaskan Inter Milan 1-0 dalam aksi final UCL di Istanbul pada Jun lalu.

Mereka di landasan terbaik untuk meneruskan dominasi penuh mereka selepas memenangi Piala Super UEFA dan memulakan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan lima kemenangan berturut-turut.