Skip to main content

Bola Sepak

UCL: El Classico tidak gugat tumpuan Barcelona

xavi.jpg
Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez, menegaskan pemainnya tidak akan terganggu dengan jadual El Clasico menentang Real Madrid, sebaliknya bersedia menghadapi Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-Juara (UCL), tengah malam ini. 

Pertemuan dengan juara Ukraine di Nou Camp itu akan menjadi perlawanan terakhir buat Barca sebelum melayani kunjungan pendahulu LaLiga berkenaan hujung minggu ini dengan kemenangan akan memastikan mereka memintas penguasaan skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu. 

Pengurus itu akan menentang Shakhtar tanpa Gavi yang digantung perlawanan selepas dia dilayangkan kad merah dalam masa tambahan di penghujung kemenangan 1-0 ke atas Porto sebelum rehat antarabangsa, manakala pemain tengah, Pedri, hampir pasti akan diketepikan memandangkan terlepas latihan semalam. 

Kemenangan akan meletakkan Barca sebelah kaki ke pusingan 16 berikutan dua kemenangan awal saingan terbabit musim ini termasuk kejayaan menewaskan wakil Belgium, Royal Antwerp, 5-0 di laman sendiri.

Mereka berpeluang ke pusingan kalah mati UCL sejak 2021 selepas tersingkir di peringkat kumpulan dalam dua edisi terakhir.

Dan Xavi berkata prospek mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan H sudah memadai untuk anak buahnya memberi perhatian penuh untuk pertemuan ini. 

“Bagi kami ini adalah satu perlawanan yang sangat penting daripada segi kedudukan kumpulan,” katanya. 

“Tiga mata ke atas Shakhtar esok adalah kunci kepada objektif kami.

“Ini adalah UCL, pertandingan terbesar buat kelab dan bagi kami peluang mengutip sembilan mata maksimum adalah sangat mustahak. 


 

“Saya tidak perlu mengalihkan fikiran sesiapa tentang perlawanan menentang Real Madrid pada Sabtu ini kerana UCL boleh membuatkan anda fokus dan aktif.

“Kami fokus kepada perlawanan esok kerana ia bukan mudah. Shakhtar adalah pasukan yang dinamik, mantap dan saya fikir mereka mampu mencetuskan masalah kepada kami. Kami tidak boleh kehilangan fokus.

“Shakhtar berada dalam situasi yang sukar, ia tidak selesa, jauh dari keluarga mereka. Mereka menukar jurulatih dan kini mereka mempunyai Darijo Srna yang saya kenali dan sangat hormati.

"Pasukan ini mempunyai pemain yang berkualiti walaupun mungkin mereka tidak begitu dikenali dan secara teknikalnya mereka sangat bagus."

Advertisement

Must Watch Video