BOLA SEPAK
Tunggakan gaji jejas moral skuad muda Pulau Pinang
Isu tunggakan gaji selama lima bulan menjadi faktor kemerosotan prestasi skuad Piala Belia Pulau Pinang sejak beberapa perlawanan lalu.
Ketua jurulatihnya, Azhar Abdul Rahman, berkata masalah itu telah membelenggu pemain-pemainnya yang disifatkan sudah hilang semangat sehingga mengalami kekalahan demi kekalahan.
Sambil mengakui tidak pernah mengalami situasi seperti itu, Azhar tidak banyak pilihan selain meneruskan tugasnya walaupun persatuan negeri itu dihimpit kemelut dalaman.
Iklan
"Apabila pemain-pemain tidak dibayar gaji, inilah hasilnya. Itu sahaja puncanya.
"Namun, yang mengecewakan saya mereka langsung tidak menjaga maruah Pulau Pinang kerana begitu mudah 'menghadiahkan' gol buat pasukan lawan," jelasnya.
Masih meletak kepercayaan kepada kualiti pasukannya, Azhar melihat pasukan dalam kejohanan peringkat bawah umur tidak banyak berbeza.
Apa yang membantutkan perkembangan mereka adalah situasi di luar padang walaupun jumlah gaji pemain-pemain muda itu tidak seberapa.
"Ini pengalaman pertama saya sebagai jurulatih dan saya lihat pemain-pemain tiada kesungguhan untuk beraksi," tambah Azhar lagi.
Kekalahan besar 0-5 kepada Terengganu FC (TFC) IV, petang semalam, menyaksikan Pulau Pinang tergelincir ke kedudukan kelapan dengan 17 mata.
Berbaki empat perlawanan, peluang mereka masih terbuka untuk merebut empat tempat teratas dan seterusnya mara ke suku akhir Piala Belia musim ini.
Must-Watch Video



