Tujuh pasukan yang dikenakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran musim ini bersedia mengemukakan rayuan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam tempoh terdekat.
Dalam satu kenyataan media MFL hari ini, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, berkata pihaknya akan mengemukakan surat rayuan kepada badan penganjur Liga Malaysia itu dalam tempoh terdekat.
"Kelewatan itu bukan disengajakan pihak KLFA, ini disebabkan kami mengalami perubahan pucuk pimpinan. Ada banyak yang berlaku sejak kebelakangan ini tetapi KLFA akan berusaha keras memastikan ia berjalan sebaik mungkin,” katanya.
MFL semalam mengumumkan tujuh pasukan, iaitu Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super serta Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang (Liga Perdana) dikenakan tindakan ekoran kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan 31 Disember tahun lalu.
Lima daripada tujuh pasukan terbabit, iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak, turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei ini kerana mengulangi kesalahan yang sama tahun lalu.
Kesemua pasukan tersebut berhak membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari, iaitu sehingga jam 5 petang 29 April ini.
Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak serta Melaka juga diwajibkan menyerahkan dokumen atau pelan kepada MFL menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen menunjukkan semua tunggakan hutang diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman itu dibuat, iaitu pada atau sebelum jam 5 petang 22 Mei ini.
Sekiranya dokumen-dokumen tersebut tidak diserahkan dalam tempoh diberikan, pemotongan tiga mata akan dikenakan kepada pasukan terbabit.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata pihaknya yang berhadapan beberapa masalah domestik, akan menghantar surat rayuan kepada MFL dalam tempoh terdekat.
KAFA yang sebelum ini menyaksikan pemotongan tiga mata dalam Liga Perdana atas arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), berusaha mencari jalan penyelesaian, bagi memastikan perjalanan pasukan itu dalam Liga Malaysia berjalan lancar musim ini.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United, Farhan Ibrahim, berkata pihaknya seperti pasukan-pasukan lain juga bersedia menyerahkan surat rayuan kepada MFL, dalam usaha mengurangkan hukuman yang diberikan.
"Kelewatan melengkapkan dokumen pada tarikh akhir disebabkan MFL ketika itu mahukan surat daripada penaja. Disebabkan penaja kami kebanyakannya daripada GLC (syarikat berkaitan dengan kerajaan), ia ada beberapa siri perbincangan dan pertemuan untuk mendapatkan surat terbabit.
"Itulah sebab mengapa dokumen itu gagal diserahkan pada tarikh akhir dan sudah pasti Melaka akan menghantar surat rayuan kepada MFL, di mana kami berharap pertimbangan sewajarnya daripada pihak MFL mengenai masalah yang dihadapi Melaka yang tidak disengajakan," katanya.
Pasukan Sarawak dan Pulau Pinang turut mengesahkan mereka akan menyerahkan surat rayuan kepada MFL selepas dikenakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada geran tahunan musim ini dan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua.
Felda United pula mengesahkan akan menghantar surat rayuan berserta dokumen yang diperlukan kepada MFL esok.
-- BERNAMA