LIGUE 1
Tuchel puji gandingan mantap Icardi, Mbappe
Gandingan prolifik di antara Kylian Mbappe dan Mauro Icardi mengingatkan pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, kepada gandingan yang dibentuk bintang Perancis itu di samping Radamel Falcao di Monaco.
Mbappe telah meledak 19 gol dalam 21 penampilan bersama PSG musim ini sementara Icardi merakamkan 17 jaringan dalam 20 aksi sejak dipinjam daripada Inter.
Kedua-dua pemain berkenaan gagal mencetak sebarang gol ketika seri 3-3 dengan Monaco hujung minggu lalu menjelang pertemuan pusingan kedua Ligue 1 di Stade Louis II awal pagi esok sehingga mendorong Tuchel untuk menghamburkan pujian terhadap gandingan mereka itu.
Iklan
Mbappe mula mencuri tumpuan di Perancis dan Eropah ketika bergandingan dengan Falcao di bahagian serangan Monaco, yang mengejutkan jaguh dari Paris tersebut untuk memenangi Ligue 1 pada 2016-17.
Selain itu, mereka juga mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan menewaskan Borussia Dortmund yang dipimpin Tuchel ketika itu.
"Ya, ia agak serupa kerana (corak permainan) Falcao agak mirip dengan Mauro. Dia gemar bermain di posisi nombor sembilan dan dia boleh bertindak bersendirian," kata pakar taktikal dari Jerman itu kepada wartawan.
"Kylian bergerak lebih banyak, dia bergerak pantas di bahagian sayap. Ini satu gabungan yang baik, bagus buat kedua-duanya. Mereka seronok untuk bergandingan dan mereka berbahaya ketika bersama.
"Ia sesuatu yang bagus kerana kami sentiasa mempunyai dua pemain di kawasan lawan dan sukar untuk mengekang mereka."
Kedua-dua pemain itu bakal diturunkan dalam kesebelasan utama, apatah lagi dengan Edinson Cavani terpinggir.
Biarpun Tuchel mampu membuat rombakan menjelang empat perlawanan berturut-turut akhir bulan ini, jadual padat itu bagaimanapun mencetuskan rasa tidak senang pengurus berkenaan.
"Ia tidak bagus buat pemain, mereka akan mati! Mereka tidak pernah tidur," katanya.
"Kami sentiasa perlu menguruskan jadual latihan kami untuk membenarkan mereka tidur kerana ia adalah jalan terbaik untuk pulih, ia sudah terbukti.
"Tetapi kami tidak pernah tidur, kami kehilangan rentak. Jika kami melakukannya sekali, tidak mengapalah tetapi jika kami perlu menempuhinya empat kali dalam tempoh dua minggu, kami terpaksa masuk tidur pada pukul 3 pagi, 4 pagi, 5 pagi. Ia sukar."
Editor: Shaiful Shamsudin
Must-Watch Video