BOLA SEPAK MSIA
Trio legenda Manchester United kongsi ilmu dengan NFDP
Skuad B-13 dan B-15 Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) mendapat tonik baru menerusi kehadiran tiga legenda Manchester United yang hadir berkongsi pengalaman di atas padang, hari ini.
Skuad B-13 dan B-15 itu, yang terlibat dalam Klinik Bola Sepak #ILOVEUNITED, tidak melepaskan peluang menimba pengalaman di bawah bimbingan tiga bekas pemain Manchester United, iaitu Denis Irwin, David May dan Dwight Yorke.
"Program ini ditubuhkan beberapa tahun lalu dan kita dapat lihat manfaat bola sepak akar umbi.
Iklan
"Jadi, saya fikir bola sepak Malaysia bertambah baik dengan adanya program seperti ini," kata Irwin.
Kehadiran tiga legenda itu memberi perkongsian berguna kepada barisan pemain muda yang sedikit-sebanyak diharap mampu memberi impak positif kepada pencapaian mereka pada masa hadapan.
Apatah lagi, skuad B-13 itu bakal ke Perancis bulan depan untuk berdepan beberapa siri aksi persahabatan manakala pasukan B-15 akan ke Belanda dan Jerman sempena persediaan ke Kejohanan AFF B-16 di Vietnam, Ogos depan.
Pemain tengah B-15, Muhammad Syukr Fariz, seronok dan bermotivasi apabila berpeluang menerima tunjuk ajar daripada trio United itu.
"Sangat teruja bertemu mereka kerana sebelum ini hanya melihat di internet. Hari ini dapat jumpa depan-depan, memang seronok dan ia sebagai motivasi untuk menjadi seperti mereka.
"Saya harap suatu masa nanti saya akan menjadi seperti mereka," ujarnya.
Meskipun hanya menerima kunjungan singkat, pemain B-13, Hanz Daniel Skelchy, berasa cukup bertuah mendapat panduan berguna.
"Mereka memberitahu agar tidak memegang bola terlalu lama dan selalu melihat kepada penyelesaian.
"Jika menerima bola, kami perlu melihat ke belakang, bermain laju dan cuba buat hantaran," katanya.
Must-Watch Video