Skip to main content

Bola Sepak

Trincao kembali ke Barcelona selepas enggan dibeli secara tetap Wolves

trincao.jpg
Francisco Trincao kembali ke pangkuan Barcelona selepas Wolves enggan menggunakan pilihan untuk membeli pemain itu secara tetap.

Pemain sayap berusia 22 tahun itu menyertai Wolves secara pinjaman pada Julai tahun lalu, yang dilaporkan melibatkan perbelanjaan £5.1 juta (RM27.20 juta) untuk menggunakan khidmatnya selama semusim.

Dengan kesepakatan itu, Wolves mempunyai pilihan untuk memiliki pemain kebangsaan Portugal itu secara tetap dengan tanda harga £25 juta (RM133.35 juta) pada penghujung tempoh pinjaman bekenaan tetapi kelab itu memilih untuk tidak meneruskannya.

Trincao mewakili Wolves sebanyak 28 kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun hanya 16 daripadanya sebagai kesebelasan utama dan hanya dapat menghasilkan empat gol.

Menurut akhbar-akhbar tempatan, walaupun Wolves memulangkan Trincao ke Barca, mereka akan menerima 20 peratus daripada bayaran perpindahan seterusnya buat pemain itu.

Trincao akan pulang ke Barca dengan masa depan yang kabur di Camp Nou selepas kelab berkenaan sedang berusaha untuk mengurangkan perbelanjaan akibat krisis kewangan.

Barca dilaporkan mengeluarkan perbelanjaan sebanyak €31 juta (RM142.62 juta) untuk mendapatkan Trincao daripada Sporting Braga pada Januari 2020 tetapi sehingga hari ini, pemain itu masih belum dapat mencipta impak besar.
 

Advertisement

Must Watch Video