Skip to main content

Bola Sepak

Tomislav Steinbruckner puji semangat berpasukan Terengganu FC

terengganu-fc.jpg
Terengganu FC (TFC) tetap berpuas hati dengan corak persembahan pemain skuad Penyu itu walaupun seri 2-2 dalam aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Darulmakmur, malam tadi. 

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata pasukan mereka menguasai perlawanan awal permainan, namun melakukan beberapa kesilapan dalam babak kedua sehingga menyebabkan Sri Pahang menyamakan kedudukan.

Dia pasrah apabila keputusan tidak berpihak biarpun mendahului 2-0 babak pertama aksi terbabit.

"Kami mendominasi permainan pada babak pertama dan keadaan itu sangat bagus kerana kami kawal keseluruhan permainan.

"Tapi separuh masa kedua, Sri Pahang pula menunjukkan serangan dan berjaya menjaringkan dua gol dari jarak jauh," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan berakhir.

Dalam aksi itu, pemain import TFC, Omid Nazari, menjaringkan gol pertama pada minit ke-25 sebelum menambah koleksi gol peribadinya pada minit ke-71.

Pada minit ke-78, pemain Sri Pahang, Rafael Feital Da Silva, menghukum kelalaian benteng pertahanan TFC apabila menjaringkan gol pertama.





Selang dua minit selepas itu, kapten pasukan Sri Pahang, Sergio Aguero, menjaringkan gol kedua untuk skuad Tok Gajah untuk memastikan tuan rumah tidak ketinggalan di halaman sendiri.

Dalam pada itu, pengendali dari Croatia tersebut memberitahu beberapa peluang diperoleh dalam babak kedua untuk menambah jaringan, namun gagal disudahkan dengan sempurna.

Bagaimanapun, dia bangga dengan usaha dipamerkan anak buahnya hingga sehingga akhir perlawanan.

"Saya hanya mahu pemain saya bermain dalam satu pasukan dan kami lakukannya (malam tadi)," katanya.

Menjawab mengenai dakwaan TFC menyenaraikan barisan kedua berdepan Sri Pahang, Tomislav menafikan perkara itu.

"Ini bukan pasukan kedua kerana sebahagian besar pemain sangat berpengalaman dan banyak juga bermain.

"Kami bermain sebagai satu perlawanan dan bermain dengan baik sebelum Sri Pahang menjaringkan dua gol,"ujarnya.

Ketika ini, skuad Penyu berada di kedudukan keenam dengan mengutip 36 mata selepas mengharungi 23 perlawanan.

Kredit: Sinar Harian 

Advertisement

Must Watch Video