Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menitah penyokong Harimau Malaya agar menikmati kemenangan dan berhenti memperbesarkan prestasi ketika menentang Republik Kyrgyzstan.
Skuad negara mengharungi situasi cemas sebelum memenangi tiga mata dalam kejayaan 4-3 di hadapan 18,000 penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu.
Kritikan terhadap pemain masih berlegar tatkala Kim Pan-gon sedang giat mempersiapkan anak buahnya untuk bertemu Chinese Taipei semena perlawanan kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Justeru, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengingatkan penyokong bahawa skuad negara memerlukan semangat untuk menghadapi pertemuan di Stadium Perbandaran Taipei, Selasa ini.
"Sudah menang syukur sahajalah. Lagi nak bising-bising menuding jari sini sana menjatuhkan semangat pemain negara sendiri. Semua pemain sudah beri segalanya, result (keputusan) pun Alhamdulillah.

"Awak nak jadi coach (jurulatih) ini kerja dalam industri bola sepak ke? Ada menang apa-apa ke? Support (sokong) saja pasukan kebangsaan dan diam lebih baik," titah Tunku Ismail di Instagram ekorharimaumalaya semalam.