Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Tiga gol bantu Terengganu pintas Melaka

img_4485.jpg
TERENGGANU FC 3 MELAKA 0

Aksi pemain terbaik perlawanan daripada Nasrullah Haniff Johan membantu Terengganu FC (TFC) mengatasi Melaka 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Kubu pelawat mula diuji Ashari Samsudin pada minit ke-11 tetapi penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat, lebih pantas menghalang hantaran Sanjar Shaakhmedov untuk menyelamatkan keadaan.

Bek tengah, Nasrullah, kemudian menceriakan kem TFC apabila menanduk kemas sepakan sudut Lee Tuck dan menjadikan kedudukan 1-0 pada minit ke-23.

Melaka mendapat peluang terbaik pada minit ke-25 tetapi tandukan Anselmo Arruda da Silva ditepis penjaga gol sebelum sepakan percuma Mohd Nazrin Nawi (m-30) sekadar tinggi.

TFC melebarkan jaringan pada minit ke-41 selepas umpanan Tuck singgah di kaki Shaakhmedov untuk tenang menggelecek Jang Sukwon dan menewaskan Khairul Fahmi.

Peluang Shaakhmedov pada minit ke-55 selepas menerima hantaran Ahmad Syamim Yahya hampir mencetak gol kedua peribadi, namun Khairul Fahmi menangkap kemas sepakan leretnya.

Masuk selaku pemain gantian, Syamim menceriakan hampir 9,000 penyokong Sang Penyu apabila melepasi perangkap ofsaid dan Khairul Fahmi mengutip bola dari jaringnya buat kali ketiga dalam perlawanan itu.

Jentera serangan MU diketuai Arruda da Silva terus gagal melepasi kubu tuan rumah dikawal Nasrullah dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat untuk kemenangan pertama TFC di laman sendiri.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Keputusan lain:

Liga Super

JOHOR DARUL TA'ZIM 3 PKNP FC 0
PERAK 1 PJ CITY FC 0
PKNS FC 2 FELDA UNITED 0

Liga Perdana
NEGERI SEMBILAN 0 SABAH 0
PULAU PINANG 2 SELANGOR UNITED 1
PDRM FA 0 UKM FC 1
 

Advertisement

Must Watch Video