Skip to main content

Bola Sepak

Tiada jalan pintas jika mahu tembusi kesebelasan utama -- Peter Cklamovski

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysia-nt.jpg
Keinginan mana-mana pemain untuk menyarung jersi keramat Harimau Malaya tiada jalan pintas, sebaliknya berdepan proses penilaian yang cukup ketat daripada pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski.

Jurulatih kelahiran Australia itu menegaskan, peluang untuk terpilih mewakili negara tidak datang bergolek sebaliknya ia menuntut pengorbanan, disiplin serta konsistensi tinggi dalam setiap perlawanan di peringkat kelab.

“Ya, tugas saya adalah mengenal pasti pemain yang sesuai dengan corak permainan kami. Jadi, kami menilai mereka ketika beraksi bersama kelab masing-masing, malah setiap detik perlawanan mereka diperhatikan,” katanya.

Cklamovski berkata, pemilihan pemain bukanlah sekadar melihat kepada nama besar atau populariti, sebaliknya ia bergantung kepada keseluruhan pakej yang dimiliki daripada prestasi semasa, etika kerja di padang, sehinggalah kepada karakter peribadi di luar gelanggang.

“Kami ada senarai panjang pemain berdasarkan prestasi, etika kerja mereka di padang bersama kelab, serta ciri-ciri peribadi mereka.

"Maklumat itu saya kumpulkan daripada perlawanan, sesi latihan, dan daripada situ kami sudah ada gambaran jelas tentang gaya permainan yang mahu diterapkan. Semua itu kemudian dihubungkan dengan proses pemilihan pemain,” ujarnya.

Ketika ini, skuad negara dibarisi ramai pemain warisan yang beraksi di Liga Super dan liga luar negara sekali gus memberikan cabaran buat pemain tempatan untuk cuba menembusi Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan harapannya untuk melihat penambahbaikkan positif dapat terus diraih pasukan selepas mengharungi beberapa perlawanan dengan keputusan yang baik.

"Ada ruang untuk kami terus berkembang dan kami akan gunakan setiap perlawanan yang diharungi untuk mencapai perkara itu. Kami cuba memberikan permainan bola sepak yang terbaik sebagai inspirasi kepada semua orang.

"Kami mahu menjadi lebih baik dalam pelbagai aspek permainan. Kami mahu menjaringkan lebih banyak gol, mencatat lebih banyak perlawanan tanpa bolos dan mengatasi setiap lawan secara fizikal dengan intensiti kami selama 95 minit," katanya.-Sinar

Advertisement

Must Watch Video