Skip to main content

Bola Sepak

TFC mahu padam rekod buruk

nafuzi.jpg
Jurulatih sementara Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain, yakin skuad bimbingannya mampu mengatasi rekod buruk bertemu PKNS FC menjelang aksi Liga Super di Shah Alam, malam esok.

Bekas pemain Terengganu itu tidak mahu menghiraukan kemarau kemenangan pasukannya selepas kali terakhir mencatat kemenangan ke atas PKNS FC pada 2014.

Enam pertemuan selepas itu menyaksikan TFC mengalami tiga kekalahan dan tiga keputusan seri dalam semua kejohanan ketika berdepan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu.

"Bagi saya, itu hanyalah rekod sebelum ini dan apa yang penting adalah persembahan 11 lawan 11 nanti.

"Kami mampu menewaskan mana-mana pasukan kalau beraksi dengan baik," katanya.

TFC dijangka melakukan perubahan di bahagian benteng ekoran penggantungan bek tengah, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris.

Beberapa tonggak lain turut bergelut dengan kecederaan, antaranya Ashari Samsudin, pemain kidal, Khairul Anwar Shahrudin, dan pemain tengah, Khairu Azrin Khazali.

Situasi itu, begitupun, tidak mencemaskan Nafuzi yang mendedahkan sudah bersedia berdepan ancaman penjaring terbanyak Liga Super, Kpah Sherman, yang sudah meledak 12 gol setakat ini.

"Pemain-pemain diingatkan untuk kekal fokus sepanjang 90 minit. Dalam bola sepak, kami akan dihukum jika buat kesilapan mudah.

"Walaupun kami serba kekurangan, saya meletakkan sasaran untuk memperbaiki kedudukan dalam liga berbanding musim lalu," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video