Pemain Selangor FC, Faisal Halim, yang menjadi mangsa simbah asid, terus mendapat soladiriti dalam kalangan komuniti sukan tanah air dengan terbaru daripada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Malah, Chong Wei percaya tonggak lincah Harimau Malaya berusia 26 tahun itu akan kembali bangkit lebih kuat selepas ini.

“Terus kuat Faisal Halim. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Allah ada sebabnya. Anda akan kembali bangkit dengan lebih kuat. Sabar dan percaya. Fokus kepada proses pemulihan dan kami semua menunggu kepulangan anda,” tulis Chong Wei di laman Facebook miliknya.

Bekas tonggak Terengganu FC itu sebelum ini membuat kemunculan pertama menerusi satu sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada Khamis.

Pemain lincah itu menjadi mangsa simbah asid di sebuah pusat beli belah pada 5 Mei lalu, yang menyaksikan dia terpaksa mengharungi empat pembedahan sepanjang berada di hospital sebelum dibenarkan keluar hospital 25 Mei lalu.

--Sinar Harian