Skip to main content

Bola Sepak

Terengganu sedia buat kejutan di Larkin

img_2832.jpg
Skuad Terengganu FC (TFC) kembali menjalani latihan Sabtu lalu dengan tumpuan kini terarah kepada pertemuan penting bertemu pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT), malam esok.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim, berkata beliau akan mempertaruhkan kesebelasan terbaik dengan pasukan bimbingannya kini bebas daripada sebarang penggantungan perlawanan serta kecederaan serius.

Walaupun mengakui status JDT selaku pasukan terbaik di negara ini, Irfan percaya TFC mampu memberi saingan untuk terus menghambat skuad bimbingan Raul Longhi itu dalam carta Liga Super.

"Sambutan Aidilfitri akan dilupakan seketika dan pemain-pemain sudah bersiap-sedia untuk membuat kejutan di Larkin," ujarnya.

Reputasi skuad Harimau Selatan itu di gelanggang sendiri juga, menurutnya, perlu dihormati dengan barisan bintang yang akan dihadapi mereka bukan calang-calang pemain.

Sekadar menamakan tonggak import lawan, Fernando Marquez dan Gonzalo Cabrera sebagai ancaman yang harus diberi perhatian, jurulatih berpengalaman itu jelas tidak mahu 90 minit didominasi tuan rumah.

"Boleh dikatakan kesemua pemain JDT berstatus antarabangsa dan kelibat mereka akan diawasi.

"Kami mahu pulang ke Kuala Terengganu dengan membawa bekalan mata," tambah Irfan.
 

Advertisement

Must Watch Video