LIGA SUPER MSIA
Tengku Amir Shah perkenan terajui FAS
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan untuk menerima tawaran menyandang jawatan presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan mendapat reaksi positif daripada barisan kepimpinan persatuan tersebut.
Menerusi kenyataan akhbar Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, Tengku Amir Shah ternyata mahukan anjakan dan perubahan menyeluruh ke atas FAS bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.
Keputusan baginda untuk menggantikan jawatan presiden yang disandang Datuk Seri Subahan Kamal selama 21 bulan lalu mendapat reaksi positif ahli persatuan yang turut mendambakan perubahan positif FAS.
Iklan
"Ia satu nafas dan harapan baru kepada sukan bola sepak Selangor daripada segi pembangunan sehingga Liga Super.
"Kami berasa bangga dan menjunjung kasih untuk bersama-sama presiden menaikkan semula nama bola sepak Selangor dari akar umbi sampai ke peringkat lebih tinggi," kata Naib Presiden FAS, Datuk Abdul Rauf Ahmad.
"(Situasi ini) merupakan harapan baru kepada peminat sukan dan rakyat negeri Selangor khususnya.
"Apa yang saya lihat, masa depan bola sepak Selangor amat cerah melalui sentuhan emas Tengku Amir Shah," ujar penolong bendahari FAS, Datuk Ariffin Abd Hamid.
Must-Watch Video



