Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, mengakui bahawa dia tidak tahu akan statusnya sebagai jurulatih musim depan, meskipun berjaya menjuarai Piala FA Inggeris, semalam.
Pengendali kelahiran Belanda itu mengetuai pasukannya menewaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dalam ulangan final tahun lalu tanpa mengira apa jua keputusan menjelang aksi di Stadium Wembley itu.
Meskipun menduduki tangga kelapan liga, The Red Devils mencatatkan pengakhiran yang bermakna buat seluruh peminatnya selepas berjaya merampas slot ke Liga Eropah (UEL), musim depan.
Bagaimanapun, spekulasi dan tanda tanya terus menghantui masa depan pengendali berusia 54 tahun itu. Tetapi, Ten Hag tidak mahu bercakap mengenainya selain hanya menutup mulut tentang apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
Bekas jurulatih AFC Ajax itu berkemungkinan mengalami nasib yang sama seperti bekas jurulatih Manchester United pada tahun 2016, Louis van Gaal, yang dipecat sungguhpun berjaya menjulang Piala FA Inggeris pada ketika itu.
"Saya tidak tahu. Tetapi, perkara paling jelas di sini adalah saya perlu menyediakan pasukan dan menggilap potensi pemain individu.
"Kami hanya mempunyai satu peluang sahaja musim ini dan kami berjaya melakukannya. Saya sangat berbangga dengan setiap pemain kerana melakukan kerja keras yang luar biasa," katanya apabila ditemu bual oleh BBC Sport.
Najmi Iman
Sun May 26 2024