Erik ten Hag merumuskan pemain Manchester United "tertidur" dalam kekalahan persahabatan kepada Cadiz dan langsung tidak dapat menerima corak persembahan anak buahnya dalam separuh masa pertama.

United tewas 2-4 kepada kelab bergelut LaLiga itu di Estadio Nuevo Mirandilla, awal pagi tadi, dalam perlawanan pertama daripada dua aksi pemanas badan sebelum musim kempen domestik bersambung semula dalam masa dua minggu lagi.

The Red Devils ketinggalan dengan dua gol dalam tempoh 14 minit perlawanan di Sepanyol itu sebelum menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Anthony Martial dan rembatan Kobbie Mainoo yang terbias dalam setiap babak.

Tetapi United -- yang menurunkan pasukan berbeza dalam setiap separuh masa -- sebaliknya, melepaskan dua lagi gol hingga mengundang rasa kurang senang pengurus itu terhadap prestasi barisan eksperimennya.

"Ia agak jelas. Kami tidak berwaspada, masih tidur dalam 15 minit pertama," katanya kepada MUTV.



“Pihak lawan mengatur ancaman dalam serangan balas. Kita sudah saksikannya, gol kedua tidak patut berlaku.

"Kami terleka di bahagian pertahanan malah bahagian tengah kami agak pincang. Ia tidak mungkin dan ia tidak boleh diterima.

"Selepas itu, kami mendapat rentak dan memenangi sepakan penalti. Saya fikir ia berlaku agak jelas dan saya fikir dalam separuh masa kedua kami mungkin layak menerima satu lagi sepakan penalti, tetapi penalti yang pertama adalah jelas.

"Kami cuba bangkit tetapi kami gagal mencari gol penyamaan sebelum rehat."