Skip to main content

Bola Sepak

Ten Hag boleh bekerja dengan aman di Man Utd tanpa Woodward, kata Van Gaal

van-gaal.png

Bekas pengurus Manchester United, Louis van Gaal, berkata ketiadaan Ed Woodward di Old Trafford akan memberi lebih ruang buat pengurus baru kelab itu, Erik ten Hag.

Van Gaal mengetuai United dari 2014 hingga 2016 dengan memenangi Piala FA 2016 sebelum dipecat dua hari kemudian yang menyaksikan Woodward menggalas tanggungjawab sebagai naib pengerusi kelab pada masa itu.

Pengurus Belanda berusia 70 tahun itu pernah mengkritik The Red Devils kerana terlalu fokus secara komersial dan bukannya menjadi sebuah kelab bola sepak.

Woodward menerajui Old Trafford dari 2012 hingga Februari tahun ini sebelum Richard Arnold menggantikannya menjelang pelantikan Ten Hag pada April lalu.

Ten Hag, yang menyertai United daripada juara Belanda, Ajax, berdepan cabaran berat untuk membangkitkan semula gergasi yang gagal memenangi trofi sejak 2017 itu, tetapi Van Gaal percaya perubahan di bahagian atasan boleh membantu perjuangannya.

 

“Kini terdapat kepimpinan baru,” katanya kepada pemberita menjelang perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) membabitkan Belanda dan Wales di Cardiff, awal pagi esok. 


"Dengan peralihan Woodward kepada Richard Arnold, ia boleh membawa perubahan jadi kita perlu tunggu dan lihat.

"Ten Hag mempunyai keyakinan tinggi jadi siapalah saya untuk mengatakan sesuatu tentang itu?"

Selepas pelantikannya, Ten Hag menolak dakwaan Van Gaal bahawa kelab itu terlalu berminat dalam urusan komersial.

"Saya mempunyai panduan tersendiri dan saya yakin ia tidak akan berlaku," katanya pula. 

"Saya ada bercakap dengan pengarah mengenainya dan hari ini, bola sepak menjadi perkara nombor satu, dua dan tiga."

Advertisement

Must Watch Video